Isnin, 20 Mei 2019 | 9:40am

Larkin Sentral lokasi kedua Semarak Ramadan BH

JOHOR BAHRU: Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah Johor Corporation (JCorp) 2019 diteruskan di Johor dengan Larkin Sentral, di sini menjadi lokasi kedua penganjurannya.

Program dijangka bermula kira-kira jam 10 pagi ini dengan aktiviti memasak bubur lambuk di perkarangan parkir Larkin Sentral.

Menariknya, difahamkan sebanyak 14 periuk bubur lambuk akan dimasak secara gotong-royong oleh kakitangan BH dan anggota pekerja JCorp.

Pengagihan bubur lambuk kemudian dijangka berlangsung kira-kira jam 5 petang ini yang akan turut dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim serta isteri yang juga Pengerusi Mutiara JCorp, Datin Noor Laila Yahaya.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif, Komersial dan Hal Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Majlis kemudian akan diteruskan dengan penyerahan bantuan kepada golongan asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Izhar Ahmad.

Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah JCorp hari ini akan diakhiri dengan majlis khatam al-Quran dan berbuka puasa yang akan diadakan di Masjid an-Nur Larkin Sentral, di sini.

Kelmarin, BH dan JCorp menyantuni saudara baharu, komuniti bukan Islam dan kariah sekitar Bandar Dato’ Onn sempena program sama di lokasi pertama penganjuran iaitu di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini.

Berita Harian X