Isnin, 20 Mei 2019 | 9:21am
NIK Omar bersalaman dengan tetamu yang hadir di Majlis makan colek dan sembang santai sinar Ramadan, di Pasir Tumboh. - Foto Fathil Asri

Subjek agama lain sesuai di universiti bukan di sekolah

KOTA BHARU: Cadangan memperkenalkan satu mata pelajaran khusus bagi mengenali agama lain selain Islam lebih sesuai dilaksanakan di peringkat universiti, bukannya sekolah bagi mewujudkan kesepaduan dan penghormatan dalam negara majmuk.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nik Omar Nik Abdul Aziz, berkata, ini kerana, mahasiswa di peringkat itu lebih memahami tentang Islam, manakala pelajar sekolah masih perlu mendalami dan memantapkan akidah terhadap agama terbabit.

Beliau berkata, jika mahasiswa Islam didedahkan bermakna ia memberi gambaran bahawa mereka perlu menghormati agama lain, namun ia tidak bermakna menunjukkan kesamarataan.

“Kita tidaklah menyatakan setiap agama sama, sebaliknya kita tetap kena yakin bahawa agama yang benar adalah Islam yang diturunkan daripada Allah SWT. Namun pada masa sama kita menghormati pilihan agama dan bangsa lain.

“Jadi apabila setiap rakyat Malaysia fahami agama masing-masing, ia memudahkan wujudnya kesepaduan dan penghormatan antara satu sama lain. Pendedahan agama lain sebagai satu cara untuk kehidupan harmoni dalam negara majmuk.

“Namun, kalau di peringkat sekolah memang tidak sesuai kerana mereka perlu didedahkan asas fardu ain dan akhlak Islam mulia terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas Program Makan Colek dan Sembang Santai Sinar Ramadan, di sini, malam tadi.

Katanya, apapun, cadangan itu memerlukan perbincangan daripada semua sudut membabitkan individu, tokoh, serta organisasi terutama Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan keputusan terbaik.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) memperkenalkan satu mata pelajaran khusus bagi mengenali agama lain selain Islam di peringkat sekolah dan universiti.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha dilaporkan berkata, mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah yang terbaik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, malam tadi dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana pihaknya konsisten dengan cadangan sebelum ini yang mahukan setiap sekolah dan universiti di negara ini mengadakan program merentas budaya dan kaum secara kerap, malah beberapa sekolah agama sudah melaksanakannya.

Berita Harian X