Ahad, 19 Mei 2019 | 6:23pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik hadir pada Majlis Penyerahan Plak Program Bantuan Rumah Harapan kepada tujuh rumah rosak teruk akibat angin kencang di Kampung Parit Haji Hashim, hari ini. - Foto BERNAMA

Perlu ada perbincangan dengan semua pihak

SIMPANG RENGGAM: Perbincangan membabitkan institut pengajian tinggi swasta (IPTS), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan perlu diadakan bagi memperhalusi penguatkuasaan kemasukan pelajar warga asing yang menuntut di negara ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata ia perlu dilakukan bagi memastikan semua pihak dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua penuntut, selain memastikan keselamatan negara.

Katanya, laporan pelbagai pihak khususnya Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menilai kecenderungan pelajar warga asing terbabit jenayah, selain menjadikan visa pelajar peluang mereka menetap lebih lama di negara ini.

“Perbincangan perlu dengan semua pihak kerana kita mahu semua IPTS dapat memberikan perkhidmatan terbaik, namun pada masa sama dapat memastikan serta mengelak mereka tidak terbabit jenayah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Plak Program Bantuan Rumah Harapan kepada tujuh rumah rosak teruk akibat angin kencang di Kampung Parit Haji Hashim, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan tidak bersetuju dengan cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) memperkenalkan satu mata pelajaran khusus bagi mengenali agama lain selain Islam di peringkat sekolah dan universiti.

Maszlee berkata, pihaknya konsisten dengan cadangan sebelum ini yang mahukan setiap sekolah dan universiti di negara ini mengadakan program merentas budaya dan kaum secara kerap, malah beberapa sekolah agama sudah melaksanakannya.

“Kementerian hanya menggalakkan sekolah berlainan aliran ini membuat program silang budaya lebih kepada perayaan dan kalau boleh ia dibawa lebih jauh lagi supaya budaya kaum masing-masing dapat difahami semua.

“Pihak kami juga menegaskan apa yang penting adalah penghayatan bagaimana pelajar saling berinteraksi melalui aktiviti yang lebih praktikal seperti kokurikulum dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha dilaporkan berkata, mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah pada masa kini adalah yang terbaik, namun ia hanya memberi fokus kepada satu agama tanpa memahami agama lain.

Katanya, cadangan itu tidak bermaksud negara bakal mengamalkan kesamarataan agama, tetapi lebih kepada memupuk perpaduan dan memahami sensitiviti penganut agama lain di negara ini.

284 dibaca
Berita Harian X