Ahad, 19 Mei 2019 | 5:48pm
Penasihat Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Datuk Mazlan Aliman. - NSTP/Khairunisah Lokman

Pinda GSA 1960 untuk perjelas hak generasi FELDA - ANAK

KUALA LUMPUR: Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 perlu dipinda dengan memasukkan klausa yang menjelaskan tanah peneroka FELDA, boleh diwarisi oleh generasi kedua dan seterusnya.

Penasihat Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK), Datuk Mazlan Aliman, berkata kedudukan generasi baharu FELDA, khususnya membabitkan pewarisan hartanah, tidak dinyatakan dalam akta berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula beberapa klausa dalam GSA 1960 yang tidak lagi relevan, supaya ia menepati situasi semasa serta perubahan untuk sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang.

“Ada klausa yang sudah tidak relevan dalam akta ini, antaranya tidak menyatakan siapakah akan menjadi pewaris selepas peneroka meninggal, yang ada hanya penama berstatus pentadbir dengan batasan tertentu.

“Ketika ini, kira-kira 60 peratus peneroka asal sudah meninggal dunia dan memandangkan pewarisan tidak dinyatakan secara jelas dalam GSA 1960, pewarisan tanah itu tidak dapat dilakukan.

“Saya sarankan GSA 1960 dikaji semula bagi mengambil kira kepentingan pewaris, serta bagaimana pembangunan masa depan boleh dilaksanakan memandangkan tanah FELDA ketika ini terikat dengan jenis tanaman, iaitu sawit. Bagaimana dengan tanaman lain pada masa depan.

“Perlu ada satu perbincangan meja bulat antara kementerian, FELDA, peneroka, badan bukan kerajaan (NGO), serta pakar perundangan dan hartanah untuk mencari penyelesaian bagaimana nak bangunkan FELDA dan hadapi situasi 50 tahun akan datang,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Khamis lalu, BH melaporkan, kajian Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Rohayu Abdul Majid mendapati peneroka FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah rancangan itu kerana wujud sekatan perundangan yang menghalang pindah milik harta terbabit kepada generasi kedua.

Bagaimanapun, FELDA dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan GSA 1960 membenarkan pewarisan tanah FELDA atau tanah yang tertakluk kepada akta berkenaan, membabitkan harta pusaka, harta sepencarian, hibah dan wasiat.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kajian semula GSA 1960 juga perlu menyelesaikan isu tuntutan hak tanah antara peneroka dan FELDA, yang sudah beberapa kali mencetuskan konflik dan terpaksa diselesaikan di mahkamah.

“Bagi peneroka, selepas mendapat hak milik tanah, mereka mahu pegangan bebas ke atas tanah itu, namun hakikatnya peneroka masih terikat dengan perkara tertentu menerusi GSA 1967, yang turut memberi hak kepada FELDA atas tanah itu.

“Konflik akan timbul apabila FELDA mahu laksanakan sesuatu dan peneroka selaku pemilik tanah tidak bersetuju, seperti yang berlaku sebelum ini dan rumit untuk diselesaikan walaupun di bawa ke mahkamah.

“Jika akta ini tidak dikaji dan dipinda, FELDA bakal berdepan masalah untuk melaksanakan model baharu pengurusan tanah peneroka melalui sewaan tanah, yang digariskan dalam Kertas Putih FELDA,” katanya.

852 dibaca
Berita Harian X