Ahad, 19 Mei 2019 | 5:23pm
Saifuddin menyampaikan sumbangan pada Program Ihya Ramadan bersama Komuniti Pengguna Tumpat, di Pertubuhan Peladang Kawasan Bakat Baru, di Tumpat, hari ini. - NSTP/Fathil Asri

Bekalan barangan keperluan terjamin, harga terkawal

TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan keperluan sepanjang Ramadan sehingga sambutan Aidilfitri, mencukupi dan terkawal.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kementeriannya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, berganding bahu bagi memastikan bekalan makanan utama seperti daging, ayam, ikan, sayur-sayuran dan telur mencukupi dalam tempoh bermula Selasa ini ini hingga 19 Jun.

Beliau berkata, sebagai contoh, berdasarkan statistik daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sebanyak 800 juta telur serta 27 juta kelapa disediakan sepanjang Ramadan dan musim perayaan ini.

“Selain jaminan bekalan, harga barangan juga terkawal seperti di bazar Ramadan, sebanyak 38,000 premis perniagaan diperiksa 2,300 penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 447 notis amaran kegagalan meletakkan tanda harga diberikan. Namun, kita faham sebahagian besar peniaga ini hanya berniaga sebulan dalam setahun.

“Harga buat masa ini memang terkawal dan kami belum menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga mendadak. Bagaimanapun, kita akan mengambil tindakan serta-merta jika ada aduan berkaitan masalah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 500 asnaf di sekitar Tumpat di Program Ihya Ramadan bersama Komuniti Pengguna Tumpat, di Pertubuhan Peladang Kawasan Bakat Baru, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, sebanyak 10 universiti awam terbabit menerusi Program Food Bank Siswa Malaysia membabitkan sumbangan barangan makanan daripada 430 pasar raya di negara ini.

“Kita mensasarkan 20,000 mahasiswa dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) akan menerima bantuan ini menjelang hujung tahun ini. Pelbagai makanan disediakan seperti milo, biskut, roti dan buah-buahan.

“Jadi kita minta mahasiswa yang memerlukan makanan boleh mengambil bekalan itu di tempat yang disediakan di universiti mereka dan mereka tidak perlu risau kerana bekalan ini akan ditambah setiap hari,” katanya.

78 dibaca
Berita Harian X