Ahad, 19 Mei 2019 | 5:06pm

Rakyat dipelawa beri pandangan isu PTPTN

SEPULUH cadangan Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) bagi mengatasi masalah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai sehingga perbadanan itu dikritik hebat.

Wartawan BH Ahad, JUNITA MAT RASID dan AMIN RIDZUAN ISHAK menemubual Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, untuk mengulas lanjut.

S: Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Kertas Konsultasi Rakyat (KKR). Masih ramai yang keliru dengan kewujudannya yang dikatakan pertama kali dengar?

J: Mungkin bagi orang biasa akan tanya apa itu konsultasi rakyat, perkataan itu mungkin orang tidak faham, mungkin baru kali pertama dengar. KKR ini menunjukkan keterbukaan PTPTN dan mengalukan pandangan rakyat mengenai apa cadangan mereka. Sebenarnya KKR ini bukan sesuatu kita nak buat dasar PTPTN atau dasar yang sudah diluluskan. Sebaliknya, ia membuka peluang kepada rakyat untuk memberi pandangan sama ada cadangan baharu atau untuk beri pandangan idea yang dibentangkan dalam KKR ini. Ia juga untuk menggalakkan satu komunikasi yang bermaklumat tepat kepada seluruh rakyat.

S: Berapa banyak elemen dalam KKR?

J: Dalam KKR ini ada tiga bahagian. Pertama mengenai data dan fakta semasa PTPTN. Maklumat ini boleh menjadi latar belakang kepada apa yang perlu rakyat fikir ketika memberi pandangan. Keduanya, kita bentangkan 10 cadangan. Yang penting di sini kita kata kita ada 10 idea tetapi di mana kita dapat idea ini? Sebenarnya bermula akhir tahun lalu hingga awal April lalu, kita mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mendengar pandangan. Oleh kerana kita tidak boleh panggil semua rakyat pada satu masa, jadi kita kenal pasti kumpulan berkepentingan seperti majikan, agensi awam dan swasta, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), belia, golongan mahasiswa dan ahli politik serta Ahli Parlimen. Mereka memberi pandangan. Daripada cadangan ini, kita kumpul dan bentang sebagai cadangan yang diterima semasa sesi libat urus dengan pihak berkepentingan. Kita ada beberapa sesi. Jadi dengan ada KKR, kita mengeluarkan perkara ini kepada rakyat Malaysia supaya mereka ada peluang untuk membaca dan peluang untuk mempertimbangkan terlebih dulu cadangan ini sama ada ia rasional atau tidak, sama ada patut atau tidak patut dilaksanakan. Jadi ia sebenarnya sekadar cadangan semata-mata. Sekiranya rakyat masuk portal ini, mereka dapat membaca keseluruhan cadangan apa yang dibentangkan.

Bahagian ketiga ialah kita meminta pandangan rakyat. Mereka boleh memberi komen sama ada suka idea atau tambah baik idea atau tidak suka idea atau boleh bagi alternatif idea yang baru. Saya melihat beberapa hari ini selepas KKR dibuka kepada orang ramai, ada beberapa pandangan dan cadangan bernas dikemukakan kepada PTPTN. Jadi lebih baik mereka masuk portal supaya boleh daftar pandangan dan untuk memastikan mereka sudah membaca maklumat sebenarnya mengenai PTPTN.

S: Apa tujuan PTPTN mengadakan KKR?

Tujuan PTPTN memperkenalkan KKR ini tidak lain, adalah untuk memberi peluang rakyat beri pandangan dan pada masa sama kami mahu memastikan fungsi PTPTN dapat diteruskan dari sekarang hingga ke generasi akan datang. Adalah tidak adil peminjam sekarang menikmati pinjaman PTPTN tetapi tidak mengambil kira keperluan anak kita generasi akan datang. Itu yang kita harap kepada rakyat beri pandangan sebaik mungkin. Rakyat Malaysia terdiri pelbagai golongan, mungkin terdiri ahli perniagaan, ibu bapa yang mempunyai anak kecil atau peminjam sendiri. Peminjam yang sudah menyelesaikan pinjaman dan yang membuat bayaran balik dengan konsisten dan yang tidak membuat bayaran balik, mungkin mempunyai pandangan dan apa masalah dihadapi. Ini adalah peluang kepada rakyat untuk berkongsi dengan PTPTN dan seterusnya kita akan kongsi dengan Kementerian Pendidikan dan kerajaan. Semua boleh mengambil bahagian dengan masuk portal di www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat/. Melalui cara ini mereka boleh membaca dan memberi pandangan. Jika masih lagi perlu penjelasan lanjut dan tidak puas hati pandangan dalam talian, mereka boleh mendaftar untuk menyertai sesi ‘townhall’ di lokasi tertentu.

S: Kebelakangan ini kita melihat rakyat lebih suka meluahkan pandangan mengenai isu berkaitan PTPTN di media sosial. Adakah pandangan di media sosial akan diambil kira?

J: Agak susah kalau kita hendak ambil pandangan di media sosial sebab perlu teroka media sosial tanpa sempadan. Jadi kita harap mereka menyuarakan pandangan di portal kerana ia penting untuk mereka, anak dan generasi akan datang.

S: Berapa ramai yang dijangka memberi pandangan dalam KKR ini?

J: Setakat ini kita tiada sasaran jumlah tetapi kita harap satu jumlah besar atau satu jumlah yang bersesuaian untuk mengemukakan pandangan sebab tempoh panjang KKR ini dibuat pada 16 Mei hingga 13 Jun ini. Tempoh ini cukup untuk rakyat memberi pandangan dalam portal.

S: Selepas tempoh KKR itu selesai, apakah langkah seterusnya yang akan dijalankan PTPTN?

J: Selepas proses konsultasi ditutup, kita akan membuat analisis dan dapatan pandangan rakyat. Seterusnya hasil itu akan dibentangkan kepada Kementerian Pendidikan sebelum dibawa kepada jemaah menteri. Pada masa sama sebenarnya perkara ini tidak dikendalikan sepenuhnya oleh PTPTN sebab kita mempunyai satu panel khas yang dibentuk, terdiri daripada anggota profesional, wakil pelbagai latar belakang dan kepakaran yang akan membantu PTPTN membuat laporan hasil konsultasi ini.

S: Maknanya keputusan akhir untuk meluluskan cadangan itu hanya akan dibuat oleh Kabinet?

J: Kabinet akan melihat analisis apa pandangan rakyat dan kita bawa pandangan itu tetapi mungkin juga dalam proses itu, Kabinet ada satu penyelesaian lebih baik atau rasa cadangan yang diberikan PTPTN itu tidak wajar dilaksanakan. Itu adalah keputusan Kabinet. Kami menjalankan amanah yang diberikan kerajaan untuk memastikan PTPTN dapat menyediakan satu skim bayaran balik yang tidak membebankan peminjam dan pada masa sama untuk memastikan kelestarian kewangan PTPTN kepada kerajaan hendak membantu anak kita ke institusi pengajian tinggi (IPT). Tidak adil kalau kita dapat masuk IPT tetapi anak kita tidak masuk kerana tiada kemudahan kewangan.

S: Maknanya semua 10 cadangan bukan cadangan asal PTPTN?

J: Kita tegaskan cadangan yang kita bentangkan itu adalah hasil sesi meja bulat terdahulu yang kita bincang bersama. Ini penting untuk rakyat bersama-sama memberi maklum balas supaya kita tahu pandangan mereka.

S: Ramai mengkritik beberapa cadangan digariskan di bawah KKR antaranya sekatan memperbaharui pasport dan lesen memandu. Apakah rasional penguatkuasaan itu dan tidakkah ia hanya akan menyukarkan rakyat?

J: Saya rasa kalau rakyat Malaysia nak tengok cadangan keenam, iaitu penguatkuasaan..... ia lebih tegas terhadap mereka yang tidak bayar balik dalam tempoh lama. Jadi mungkin rakyat boleh beri maklum balas berapa tempoh bayaran balik yang lama iaitu sebelum seseorang peminjam dikenakan tindakan yang dicadangkan itu. Kalau kita tengok langkah baharu yang kita diterima ialah mengenai pembaharuan pasport, lesen memandu, pembaharuan dan pendaftaran lesen perniagaan serta bayaran cukai jalan. Cadangan ini kerana mereka kata PTPTN terlalu mudah, apa yang berlaku kepada peminjam terdahulu walaupun tidak bayar, PTPTN masih memberi pinjaman kepada keluarga terdekat mereka. Jadi dicadangkan sekiranya ada peminjam tidak membayar langsung atau tidak bayar balik dalam tempoh yang panjang, PTPTN boleh untuk tidak memberikan pinjaman kepada keluarga terdekat mereka. Kata kunci di sini ialah tidak bayar balik bayaran pinjaman dalam tempoh lama.

Laporan kata PTPTN akan adakan sekatan luar negara, tiada dalam cadangan dibentangkan ini. Rata-rata mereka yang kita temui kata supaya tidak dilaksanakan sekatan perjalanan. Jadi saya rasa itu tidak perlu dijadikan isu tetapi mungkin beri idea mengenai bagaimana pelaksanaan atau apa yang perlu dibuat kepada mereka yang tidak buat bayaran balik dalam tempoh lama. Kita harap mereka dapat lihat idea dengan terbuka, maknanya tidak tengok penguatkuasaan peminjam tetapi penguatkuasaan lebih tegas terhadap mereka yang tidak bayar balik pinjaman dalam tempoh lama. Mungkin kita boleh sebut secara ringkas bahawa idea dalam KKR yang dibentangkan itu, cadangan penangguhan bayaran balik peminjam kepada mereka berpendapatan RM2,000 ke bawah, dicadangkan boleh atau wajar atau sesuai untuk diberikan penangguhan kerana ia memberi kebaikan kedua-dua pihak. Bagi peminjam juga tahap pendapatan RM2,000 itu mampu bayar balik dengan jumlah minimum. Di pihak kerajaan dan PTPTN, sekiranya peminjam berpendapatan bawah RM2,000 ini diberikan penangguhan bayaran balik, mereka hanya mewakili 26 peratus sahaja yang diberikan penangguhan dan ini dianggarkan RM2.1 bilion kutipan. Anggaran kutipan ini mampu untuk PTPTN meneruskan pembiayaan pinjaman kepada pelajar baharu, kalau tidak, mungkin kena had peminjam atau PTPTN kena hentikan pinjaman.

S: Dalam menentukan jumlah pembayaran minimum bulanan, adakah PTPTN ada mengambil kira komitmen bulanan perlu ditanggung peminjam?

J: Setakat ini kita masih menggunakan kaedah gaji mereka. Pada masa ini kita masih teruskan dasar sedia ada dan ada yang sudah memberikan komitmen tetap membuat pembayaran balik, walaupun kerajaan sudah menangguhkan kaedah potongan gaji berjadual.

S: Berapa peratusan peminjam yang bertanggungjawab dan tidak bertanggungjawab atau culas membuat pembayaran pinjaman?

J: Menerusi kertas konsultasi rakyat, sebanyak 49 peratus dikategorikan sebagai peminjam bertanggungjawab berdasarkan statistik sehingga 31 Disember 2018. Daripada jumlah itu, 26 peratus atau 499,000 peminjam menyelesaikan bayaran balik membabitkan nilai RM5.9 bilion, manakala 23 peratus atau 438,000 peminjam membayar balik secara konsisten dengan kutipan RM2.5 bilion. Sementara itu, sebanyak 51 peratus dikategorikan tidak bertanggungjawab di mana 32 peratus atau 616,000 peminjam tidak membuat pembayaran balik secara konsisten, membabitkan tunggakan RM3.6 bilion. Lebih separuh peminjam tidak membayar balik melebihi satu tahun. Daripada jumlah itu, 19 peratus atau seramai 356,000 tidak pernah membayar balik pinjaman dengan jumlah keseluruhan tunggakan mencecah RM2.8 bilion.

S: Adakah PTPTN akan memberi fokus kepada 356,000 peminjam yang tidak pernah membayar balik pinjaman?

J: Kita berharap dengan data kita bentangkan ini, 356,000 peminjam akan menjadi antara yang terbabit dalam konsultasi rakyat yang sedang dijalankan. Ia memberi peluang kepada mereka untuk melihat data dan memberi penjelasan bahawa bayaran daripada peminjam ini adalah sumber dana untuk beri kepada anak-anak lain.

S: Adakah PTPTN ada melakukan kajian mengapa 356,000 peminjam itu langsung tidak membuat pembayaran?

J: Tiada kajian khusus dijalankan ketika kita memberikan pinjaman, sebab mereka tiada pendapatan kerana masih belajar. Peminjam ini ada menandatangani perjanjian yang merangkumi terma-terma termasuk pembayaran balik serta tindakan boleh diambil PTPTN. Kita juga tidak mengambil maklumat pendapatan dan tidak menjadi keperluan buat mereka untuk mengemaskini maklumat pendapatan mereka. Sebelum ini kita ada mengambil inisiatif untuk mereka membuat penstrukturan semula pembayaran bulanan. PTPTN merealisasikan impian rakyat Malaysia melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dan sehingga kini dianggarkan tiga juta peminjam mendapat manfaat, membabitkan keseluruhan pinjaman berjumlah RM56 bilion. Kita memudahkan pembayaran dan membenarkan penstrukturan semula pembayaran sekiranya peminjam tidak berkemampuan, kos pinjaman juga rendah iaitu hanya satu peratus berbanding pinjaman dengan institusi kewangan atau sektor pembiayaan komersial lain. Saya harap maklumat ini akan diteliti rakyat dalam membuat pertimbangan.

S: Isu PTPTN sering dijadikan modal politik oleh pelbagai pihak sejak dahulu, adakah ia sedikit sebanyak menyukarkan usaha PTPTN mengutip semula pinjaman?

J: PTPTN adalah organisasi dan badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan. Apa juga yang kita laksanakan, adalah untuk memenuhi hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai golongan berilmu yang mampu memberi sumbangan kepada negara pada masa depan. Kita memberi sokongan kepada kerajaan yang mahu ruang disediakan kepada rakyat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dengan menyediakan kemudahan kewangan.

S: Siapa perlu ambil bahagian dalam konsultasi rakyat?

J: Pertama adalah peminjam sendiri kerana mereka yang perlu membayar pinjaman dan kita harus mengetahui masalahnya. Sebelum ini ramai bertanya mengapa mereka tidak membayar balik pinjaman, namun kita tiada jawapannya. Kedua, pelajar dan bakal peminjam yang mungkin mahu menyuarakan hasrat supaya mereka juga berpeluang menikmati kemudahan sama. Ketiga adalah ibu bapa yang mungkin mempunyai anak kecil atau bakal melanjutkan pengajian pada sesi akan datang. Mereka sudah tentu mahu anak masing-masing cemerlang dan berpeluang melanjutkan pengajian. Keempat adalah pembayar cukai yang menyumbang kepada pendapatan negara. Mungkin kalau tiada PTPTN, mungkin mereka perlu menampung untuk membiayai pendidikan pelajar. Kelima adalah institusi pengajian tinggi (IPT) yang harus melihat bagaimana ia boleh menyediakan kursus berkualiti bagi memastikan pelajar mendapat pekerjaan. Keenam adalah majikan yang boleh memberikan input berkaitan kaedah pemotongan gaji atau maklumat gaji graduan baharu keluar universiti dan proses untuk mencapai tahap gaji lebih tinggi. Kita juga mengalu-alukan pembabitan institusi kewangan dan Ahli Parlimen atau wakil rakyat.

S: Berapa banyak IPT yang menerima pembiayaan PTPTN dan adakah PTPTN bakal menetapkan kriteria tertentu dalam meluluskan pinjaman terutama kepada Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menawarkan kursus tidak berimpak tinggi?

J: Setakat ini lebih 500 IPT menerima pembiayaan. Mengenai kriteria dalam meluluskan pinjaman kepada IPTS, dalam kertas konsultasi rakyat ada dicadangkan supaya pinjaman dikurangkan dan secara beransur-ansur ditamatkan kepada IPTS dan kursus berprestasi rendah. Cadangan ini bukannya kita hendak ambil kepentingan mana-mana pihak tetapi pentingnya supaya ada jaminan pekerjaan apabila kursus berkualiti dan diperlukan industri disediakan. Ia tidak boleh dilaksanakan secara tiba-tiba dan perlu secara strategik seperti pemotongan gaji yang dicadangkan hanya untuk peminjam baharu supaya tidak mengganggu ekosistem peminjam membayar pinjaman secara konsisten.

S: Ada laporan media melaporkan terdapat segelintir peminjam menghantar wang pinjaman daripada PTPTN kepada ibu bapa di kampung atau membelanjakannya untuk keperluan lain selain yuran pengajian. Adakah PTPTN berhasrat untuk hanya mengehadkan pinjaman bagi pembayaran yuran pengajian?

J: Kita menetapkan mengikut beberapa kriteria iaitu pinjaman maksimum untuk golongan B40 (isi rumah berpendapatan rendah), manakala 75 peratus untuk M40 (isi rumah berpendapatan pertengahan) dan 50 peratus bagi T20 (berpendapatan tinggi) tetapi jumlah maksimum bukan mengikut yuran IPT. Agak sukar untuk kita membuat pemadanan untuk 500 IPT yang mendapat tajaan PTPTN yang mungkin menyebabkan komitmen kita menjadi lebih besar. PTPTN juga menetapkan jumlah mengikut peringkat pengajian dan jenis IPT, kita beri mengikut kesesuaian. Kalau ada ibu bapa memerlukan bantuan, wajar untuk mereka menghubungi agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pusat zakat.

S: Bagaimana usaha PTPTN menggalakkan penyimpanan simpanan pendidikan seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)?

J: Kita sememangnya secara konsisten sentiasa meneruskan program khas bagi meningkatkan kesedaran kepentingan penyimpanan dana pendidikan seperti SSPN demi kepentingan anak pada masa depan depan. SSPN harus menjadi pilihan utama kepada ibu bapa untuk merancang simpanan pendidikan anak-anak kerana ia banyak keistimewaan antaranya simpanannya dijamin kerajaan, kadar dividen kompetitif dan pelepasan cukai yang dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000 tahun ini.

S: Apa nasihat kepada NGO dan aktivis yang memperjuangkan isu PTPTN?

J: Harapan kami dalam menerbitkan konsultasi rakyat ini adalah supaya semua pihak tanpa mengira kumpulan untuk memberi pendapat positif dan mengenai langkah yang perlu diambil PTPTN. Matlamat PTPTN dan kumpulan itu sebenarnya sama sahaja iaitu hendak memastikan PTPTN mempunyai kelangsungan kewangan untuk masa depan dan pada masa sama mengurangkan beban bayaran peminjam. Saya hendak menyeru kepada rakyat Malaysia supaya mengambil peluang keemasan untuk sama-sama memberi pendapat dan lihat matlumat secara rasional. Kita juga akan mengadakan sesi townhall di Universiti Malaya (UM) pada 23 Mei, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 25 Mei, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 27 Mei, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 29 Mei dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 31 Mei.

1054 dibaca
Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid. - NSTP/Nadim Bokhari
Berita Harian X