Ahad, 19 Mei 2019 | 1:46pm
KETUA Menteri, Adly Zahari (tengah) mengadakan sidang media selepas melawat ke Tokong Seck Kia Eenh sempena Sambutan Hari Wesak di Jalan Gajah Berang. - NSTP/Rasul Azli Samad

Guna pendapatan pelabuhan untuk pemuliharaan perairan - KM Melaka

MELAKA: Kerajaan negeri mahu meningkatkan peranan perairan Selat Melaka dengan membangunkan pelabuhan supaya tambahan pendapatan ekonomi yang baharu itu dapat disalurkan untuk membiayai kos pemuliharaan kawasan perairan yang terjejas.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata sumber pendapatan ekonomi baharu kerajaan Melaka melalui aktiviti import dan eksport di Pelabuhan Tanjung Bruas itu sekali gus dapat menangani isu alam sekitar termasuk kejadian pemendapan pasir dan lumpur khususnya di perairan Selat Melaka.

“Selat Melaka adalah milik bersama semua pihak kerana ia adalah perairan antarabangsa.

“Namun, Melaka akan membangunkan pelabuhan (Tanjung Bruas) bagi meningkatkan ekonomi bagi tujuan import, eksport, pembaikan dan aktiviti berkaitan,” katanya mengulas laporan muka depan BH Ahad, hari ini mengenai kapal punca pantai berlumpur khususnya di Selat Melaka.

Laporan itu memetik, pergerakan ratusan kapal dagang di Selat Melaka setiap hari menyebabkan tanah dan pasir di dasar laut tertolak naik sebelum gelombang yang dihasilkan membawanya ke pantai menghasilkan mendapan pasir dan lumpur.

Berikutan itu, pakar hidrografi mencadangkan kerajaan menuntut pampasan antarabangsa dan menggunakannya bagi membiayai kos pemuliharaan kawasan terjejas.

Terdahulu, Adly menghadiri lawatan sempena Hari Wesak di Tokong Seck Kia Ench, Jalan Gajah Berang, di sini, hari ini.

Turut hadir bersama beliau adalah barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, suasana cukup meriah sempena sambutan Hari Wesak, hari ini, di sepanjang Jalan Gajah Berang, di sini. Malah, ribuan penganut Buddha turut membanjiri tokong bagi meraikan sambutan berkenaan termasuk memberi makan dan bersedekah kepada sami Buddha.

Kemeriahan sambutan pada tahun ini turut mencatatkan kelainan apabila turut berlaku perarakan sambutan dewa oleh penganut kaum Hindu di kuil berhampiran di Jalan Gajah Berang.

131 dibaca
Berita Harian X