Ahad, 19 Mei 2019 | 1:19pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Maszlee tak perlu mohon maaf - Rina

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tidak perlu melayan tuntutan beberapa pemimpin MCA, GERAKAN dan DAP yang menuntutnya memohon maaf atas kenyataan berhubung kuota matrikulasi dan keperluan fasih berbahasa Mandarin bagi mendapat pekerjaan.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Rina Harun, berkata tiada keperluan untuk Maszlee memohon maaf atau meletakkan jawatan kerana kenyataan itu adalah berdasarkan fakta yang kukuh.

Mempertahankan kenyataan Maszlee itu, Rina yakin beliau tidak mengeluarkan kenyataan itu secara semberono, sebaliknya sudah meneliti data dan berbincang bersama kementeriannya.

“Dr Maszlee tak perlu mohon maaf. Sebagai menteri, dia tahu apa yang terjadi berhubung isu yang berkait dengan kementeriannya dan sebelum kenyataan itu dikeluarkan, pasti sudah ada maklumat untuk menyokong fakta itu.

“Beliau juga sudah buat kajian di peringkat kementerian untuk selesaikan isu membabitkan kuota matrikulasi.

“Matrikulasi ini hanya platform untuk pelajarnya meneruskan pengajian ke universiti. Dr Maszlee pasti sudah meneliti data mengenai jumlah pelajar di universiti awam dan swasta (mengikut pecahan kaum) sebelum putuskan meneruskan kuota ini,” katanya kepada pemberita selepas program Sumbangan Kasih Ramadan di Kampung Baru di sini, hari ini.


Rina (kiri) menyampaikan sumbangan pada program Sumbangan Kasih Ramadan di Kampung Baru. - NSTP/Aswadi Alias

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan beberapa pemimpin MCA, GERAKAN dan DAP yang menuntut Maszlee memohon maaf dan menarik balik kenyataan serta membidas beliau kerana mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan bahasa Mandarin sebagai syarat mendapat pekerjaan.

Khamis lalu, portal berita melaporkan Maszlee sebagai berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi, juga perlu membangkitkan isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

“Kalau kita nak ubah (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan peluang pekerjaan kepada Bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin,” katanya.

Kenyataan Maszlee itu mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker; Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

6140 dibaca
Berita Harian X