Ahad, 19 Mei 2019 | 10:01am
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Dr Faizul Amri Adnan. - NSTP/Adi Safri

KL perlu bertindak tuntut pampasan

KUALA LUMPUR: Malaysiaperlu bertindak mendapatkan pampasan antarabangsa

untuk digunakan bagi mengatasi masalah alam sekitar, termasuk pencemaran, hakisan serta muara sungai tertutup yang berpunca daripada aktiviti perkapalan di Selat Melaka.

Pakar Hidrografi dan Reka Bentuk Kapal, Dr Faizul Amri Adnan, berkata ketika ini, Selat Melaka sudah menjadi laluan perkapalan antarabangsa yang paling sibuk di dunia.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Johor, berkata tindakan mendapatkan pampasan itu perlu kerana aktiviti perkapalan di Selat Melaka adalah antara faktor penyumbang kejadian hakisan serta muara sungai tertutup hingga menjejaskan ekonomi dan kehidupan nelayan serta ekosistem perairan negara.

“Kita perlu ketengahkansegerakanisu ini untuk perhatian masyarakat antarabangsa termasuk bayaran pampasan kepada negara-negara terbabit melalui pihak antarabangsa sama ada dari Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO), syarikat perkapalan atau sebagainya.

“Pampasan ini perlu diusahakan bagi tujuan melindungi dan memulihara alam sekitar demi manfaat generasi akan datang. Ini kerana kita adalah negara yang membenarkan laluan perkapalan ini dan ia bukan untuk milik kita sahaja tetapi juga kapal antarabangsa lain yang datang dari seluruh dunia,” katanya.

Cadangan kenakan bayaran

Semakan BH mendapati, cadangan mengenakan bayaran terhadap kapal yang melalui Selat Melaka bukan perkara baru, sebaliknya pernah menjadi agenda perbincangan hangat membabitkan Malaysia, Indonesia dan Singapura pada sekitar 1970-an.

Jurnal ditulis Amriah Buang dari Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang disiarkan pada 2006, mendedahkan pada 1971, Malaysia mencadangkan levi dikenakan terhadap semua kapal melalui Selat Melaka tanpa mengira saiznya, manakala Indonesia mencadangkan supaya kapal tangki minyak melebihi berat penuh 200,000 tan dilarang menggunakan perairan itu.

Namun, dua cadangan terbabit ditolak Singapura yang khuatir langkah berkenaan mengurangkan bilangan kapal singgah di pelabuhan negara itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika berucap dalam Forum Kedua Kerjasama Antarabangsa Jalur Dan Laluan (BRF) di Beijing, China pada 26April lalu, dilaporkan berkata, walaupun Selat Melaka dianggap selat antarabangsa tetapi komuniti antarabangsa meletakkan tanggungjawab menjaga kebersihan laut perairan itu kepada negara pesisir pantainya.

“Mereka (negara pesisir Selat Melaka) adalah komuniti yang menghadapi pencemaran. Mereka perlu ada sumber yang besar untuk membersihkan laut dan pantai masing-masing. Ini adalah sangat tidak adil kerana kebanyakan negara di pesisiran ini tidak mampu dan terpaksa menanggung beban yang besar ini,” katanya.

Berita Harian X