Ahad, 19 Mei 2019 | 10:00am

Ombak buatan jejas dasar, ekosistem laut

TANGKAK: Keadaan Selat Melaka yang menjadi laluan kapal paling sibuk di dunia, menjadi antara faktor penyumbang kepada hakisan pantai, seterusnya menyebabkan pelbagai isu alam sekitar, termasuk kejadian muara dilitupi lumpur hingga menjejaskan kehidupan nelayan.

Kapal dagang bersaiz besar yang membawa pelbagai muatan ini, sebenarnya turut mencetuskan gelombang dikenali sebagai ombak buatan.

Pakar Hidrografi dan Reka Bentuk Kapal, Dr Faizul Amri Adnan, berkata kesibukan aktiviti perkapalan di Selat Melaka mempunyai kesan dan pengaruh yang besar kepada kedudukan pantai dan muara di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia yang hanya dipisahkan laluan perairan sempit dengan Pulau Sumatera.


MAKLUMAT langsung pergerakan kapal melalui Selat Melaka seperti yang disiarkan menerusi sesawang marinevesseltraffic.com

“Jumlah kapal yang banyak menghasilkan gelombang ini, ditambah keadaan arus laut yang semula jadi deras menyebabkan fenomena di mana keadaan muara atau kuala ini sekitar Muar dan Tangkak di sini, menjadi lebih cepat cetek berbanding kawasan lain di bahagian lebih ke utara.

“Perkara ini sebenarnya sudah berlaku sejak puluhan tahun lamanya dan perlu diingatkan juga jumlah kapal melalui Selat Melaka semakin bertambah, di samping saiz fizikalnya juga semakin besar. Itu perkara yang kita tak boleh dinafikan yang menyebabkan fenomena ini terus berlaku,” katanya di sini.

Seatrade Maritime News yang memetik laporan Nippon Maritime Center (NMC), melaporkan trafik di Selat Melaka meningkat secara konsisten sejak 2011 hingga angka transit mencapai 84,456 kapal pada 2017.

Jumlah kapal yang melaporkan untuk transit kepada Sistem Trafik Perkapalan (VTS) Klang meningkat daripada 222 sehari pada 2015 kepada 231 sehari pada 2017, dengan 10 kapal memasuki atau meninggalkan Selat Melaka setiap jam atau sebuah kapal bagi setiap enam minit.

Faizul Amri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom dan bekas pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata setiap jenis kapal akan menghasilkan gelombangnya sendiri, bergantung kepada saiz, berat dan kelajuannya.

“Gelombang atau ombak tiruan ini terbentuk mengikut bentuk kapal dan ditambah faktor kelajuannya. Kapal berbentuk segi empat menghasilkan gelombang agak besar berbanding yang tirus. Bagaimanapun kebanyakan kapal, khususnya yang membawa muatan kontena berbentuk empat segi semuanya.

“Walaupun bergerak pada kelajuan antara 10 hingga 30 knot, kapal ini akan menghasilkan gelombang ombak sendiri. Lebih memburukkan keadaan, kapal bersaiz besar ini bukan sahaja menghasilkan gelombang di permukaan air tetapi membelah kawasan dasar yang membawa kepada pemendapan pasir atau tanah.

Gelombang permukaan air

“Berbeza dengan bot laju berbentuk tirus, kecil dan ringan, ia hanya menyebabkan gelombang terhasil di bahagian permukaan air sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pergerakan kapal dagang yang besar menyebabkan tanah dan pasir yang berada di dasar laut tertolak naik sebelum gelombang yang dihasilkan di kedua-dua sisi kapal menolaknya ke tepi hingga akhirnya sampai ke pesisir pantai.

“Perlu diingat bahawa semakin besar dan berat atau laju kapal itu maka semakin tinggi gelombang atau ombak tiruan yang dihasilkan. Paling dibimbangi adalah jumlah kapal yang melalui Selat Melaka kini mencecah ribuan setahun dan ia bukan merangkumi dua laluan pergi dan balik (utara selatan) sahaja tetapi sudah membentuk tiga hingga empat laluan di perairan itu.

Faizul Amri berkata, selain itu keadaan fizikal Selat Melaka yang sempit dan mempunyai kedalaman yang agak cetek juga sebenarnya memburukkan lagi hakisan yang berlaku di pantai negara ini.


ANTARA kapal dagang yang melalui Selat Melaka. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

“Dahulu perkara ini belum serius kerana jumlah kapal yang melaluinya tidak sebanyak pada hari ini dan kapal pada waktu itu juga saiznya agak kecil. Jadi bayangkanlah kapal-kapal besar dan banyak ini yang bergerak pergi dan balik yang kemudiannya memberi impak kepada kawasan pantai kita hari ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, satu lagi perkara yang boleh memberi ancaman kepada kelestarian negara ini adalah wujudnya satu kebimbangan penemuan tumbuhan serta hidupan akuatik asing yang boleh memberi kemudaratan daripada aktiviti perkapalan ini.

“Setiap kapal memerlukan berat muatan tertentu untuk badannya tenggelam bagi membolehkan ia belayar dengan lebih cekap. Jika bergerak dengan membawa muatan barang itu mungkin tiada masalah tetapi bagaimana dengan kapal yang tidak membawa sebarang muatan atau kosong ketika dalam perjalanan balik dari atau ke sesuatu destinasi?

“Di sini akan timbul masalah baharu kerana biasanya kapal ini terpaksa mengisi air laut dari destinasi terakhir mereka menurunkan barang muatan bagi memastikan berat kapal mencukupi untuk pelayaran yang cekap. Isunya, kapal ini akan menyedut sumber air daripada pelabuhan tempat mereka berhenti. Contohnya kapal dari Malaysia ini berhenti di Afrika Selatan dan untuk balik, jika tiada muatan, ia akan sedut air laut kawasan terbabit.

“Kemudian kapal itu akan belayar kembali ke Malaysia bersama air laut berkenaan dan apabila sampai, air itu akan dibuang ke laut di sini kerana akan mengisi semula muatan barangan berkenaan. Di situlah masalah baharu akan timbul,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu sudah mula menjadi isu di beberapa negara yang melaksanakan perdagangan maritim apabila mula wujud masalah alam sekitar yang agak serius terutama berpunca daripada tumbuhan parasit dan hidupan akuatik asing yang boleh memberi kesan kepada ekosistem lautan negara ini.

“Perkara ini bukan khayalan kerana kesannya sudah berlaku di beberapa negara. Contohnya pembiakan spesies alga hijau yang berlaku di beberapa tempat di Amerika Syarikat juga mengancam kelestarian alam sekitarnya hingga mengganggu aktiviti perikanan negara berkenaan.

"Begitu juga di Jepun, berlaku penemuan spesies obor-obor raksasa yang boleh memberi kemudaratan termasuk aktiviti kapal itu sendiri. Kita harus faham bahawa tumbuhan itu mungkin biasa di negara asal mereka kerana faktor cuaca dan sebagainya, tetapi apabila ia berpindah ke kawasan lain, ia akan berubah bentuk, ciri dan juga fizikalnya.

"Itu belum lagi kemungkinan lain yang boleh memberi kemudaratan, bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi juga kesihatan serta kehidupan manusia itu sendiri. Kita perlu mengambil tindakan segerakan sesuai dengan konvensyen antarabangsa mengenai isu ini dari sekarang sebelum keadaan menjadi serius," katanya.

Berita Harian X