Sabtu, 18 Mei 2019 | 2:25pm
Lim Guan Eng (tiga, kiri) pada Persidangan Meja Bulat Fintech di Suruhanjaya Sekuriti baru-baru ini. - Foto Salhani Ibrahim

Pembaharuan institusi membuahkan hasil - Guan Eng

PUTRAJAYA: Dasar yang pasti, jelas dan konsisten disediakan kerajaan membolehkan ekonomi negara berkembang 4.5 peratus pada suku pertama tahun ini, mengatasi jangkaan pasaran serendah 4.3 peratus.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pertumbuhan 4.5 peratus itu menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia yang tinggi semasa berdepan ketidaktentuan cabaran luaran yang timbul akibat perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Kita bersyukur apabila usaha pemulihan nasional melalui pembaharuan institusi mendatangkan hasil yang baik. Ini adalah satu permulaan yang memberangsangkan untuk tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu beliau berkata, lebihan akaun semasa, pelaburan langsung asing (FDI) yang direalisasikan dan kemasukan pelancong untuk suku pertama tahun ini juga meningkat secara signifikan.

“FDI yang direalisasikan pula naik 94.8 peratus kepada RM21.7 bilion berbanding RM11.2 bilion setahun lalu. FDI yang direalisasikan adalah pelaburan asing yang sudah dibuat untuk tempoh berkenaan.

“Ini membuktikan kekuatan ekonomi negara serta keyakinan tinggi pelabur asing kepada kerajaan dan Malaysia. FDI RM21.7 bilion ini adalah yang tertinggi dalam sejarah Malaysia bagi satu suku,” katanya.

Guan Eng berkata, pelaburan yang direalisasikan itu akan meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi serta mencipta peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia dalam masa terdekat.

“Lebih separuh daripada FDI yang direalisasikan disumbangkan oleh pelaburan RM8.4 bilion daripada Jepun, RM3.7 bilion dari Austria dan RM2.8 bilion (Hong Kong).

“Kerajaan berharap keyakinan yang ditonjolkan pelabur asing akan membantu meningkatkan pelaburan domestik syarikat tempatan bagi memantapkan lagi pertumbuhan negara,” katanya.

Selain itu katanya, lebihan akaun semasa naik kepada RM16.4 bilion, atau 4.7 peratus daripada pendapatan kasar negara (GNI) berbanding 3.0 peratus daripada suku keempat 2018.

“Ia dijangka akan terus berada dalam keadaan lebihan dalam suku-suku yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata, suku pertama 2019 juga memperlihatkan Malaysia menerima 6.696 juta pelancong asing, iaitu jumlah yang terbesar sejak suku keempat 2016.

“Ini peningkatan 2.7 peratus berbanding tahun lalu apabila 6.520 juta orang pelancong asing melawat Malaysia, dan 3.9 peratus berbanding suku keempat 2018 apabila 6.446 juta orang pelancong asing masuk melawat Malaysia,” katanya.

Guan Eng berkata, Hari Wesak tahun ini adalah satu peluang untuk merenung kembali kejayaan yang sudah dikecapi setakat ini dan merancang ke arah pembentukan sebuah masyarakat Malaysia yang lebih harmoni, bersatu dan inklusif.

“Sambil semua penganut agama Buddha merayakan Hari Wesak dengan aman, marilah kita memperingati ajaran yang mengajak manusia untuk sentiasa berbuat baik dengan saling bantu-membantu tanpa melupakan sesiapa.

“Perkara yang sama akan dilaksanakan oleh kerajaan melalui pertumbuhan inklusif bagi memastikan kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia.

“Ini sejajar dengan konsep “Kemakmuran Bersama” seperti yang diterangkan Perdana Menteri pada 9 Mei lalu sempena ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya.

Berita Harian X