Sabtu, 18 Mei 2019 | 1:06pm

JCorp santuni saudara baharu, komuniti bukan Islam

JOHOR BAHRU: Johor Corporation (JCorp) hari ini, menyantuni saudara baharu, komuniti bukan Islam serta kariah sekitar Bandar Dato’ Onn sempena Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah JCorp 2019 di sini.

Program yang berlangsung di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini, mendapat tajaan JCorp menerusi syarikat Kumpulan, QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp).

Program bermula dengan aktiviti penyediaan bubur lambuk secara gotong-royong bersama ahli jawatankuasa Masjid Sultan Iskandar, kakitangan BH dan anggota pekerja JCorp.

Hadir sama, Naib Presiden Penjenamaan dan Komunikasi Strategik Kumpulan JCorp, Norsiah Juriani Johari; Pengarang Eksekutif Berita dan Digital BH, M Thilinadan; Pengurus WANCorp, Mohd Nazarudin Ali serta Pengerusi Masjid Sultan Iskandar, Mohd Razif Ab Rahim.

Program kemudian akan diteruskan dengan Solat Zohor berjemaah, Majlis Taddabur al-Quran diikuti dengan Solat Asar berjemaah.

Forum bertajuk Puasa, Kesihatan dan Agama turut diadakan di Dewan Lukman al-Hakim Masjid Sultan Iskandar pada jam 5.30 petang ini, yang mengupas pelbagai hikmah mengenai puasa mengikut perspektif agama, kesihatan serta sains.

Forum berkenaan menampilkan tiga ahli panel iaitu Pendakwah dan Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Jaysuman Pusppanathan; Pakar Nutrisi Hospital Pakar KPJ Puteri, Dr Nur Hafizah Abdul Hadi dan Pengurus Besar, QSR Brands, Mohd Roslan Mohd Saludin.

Sebanyak 10 kaunter pameran turut dibuka di perkarangan Masjid Sultan Iskandar yang memberi pendedahan kepada masyarakat bukan Islam mengenai Islam, termasuk memberikan mereka pengalaman memakai hijab.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan sumbangan zakat kepada saudara baharu sebelum semua tetamu berbuka puasa.

PENGARANG Eksekutif Berita dan Digital BH, M Thilinadan (empat dari kanan) dan Pengurus WANCorp, Mohd Nazarudin Ali (kiri sekali) meletakkan beras untuk menyediakan bubur lambuk sempena Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah JCorp 2019 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PENGARANG Eksekutif Berita dan Digital BH, M Thilinadan (kiri) dan bersama sebahagian petugas masjid mengisi bubur lambuk dalam mangkuk plastik untuk diagihkan kepada orang ramai petang nanti sempena Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah JCorp 2019 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PENGARANG Eksekutif Berita dan Digital BH, M Thilinadan (kiri) dan bersama sebahagian petugas masjid mengisi bubur lambuk dalam mangkuk plastik untuk diagihkan kepada orang ramai petang nanti sempena Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah JCorp 2019 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X