Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:03am
BOT nelayan tersadai tidak dapat ke laut akibat muara sungai cetek ketika air surut. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
BOT nelayan tersadai tidak dapat ke laut akibat muara sungai cetek ketika air surut. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
TINJAUAN keadaan air pasang dan surut di Muara Sungai di sekitar Langkawi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Eksklusif: Muara cetek halang laluan bot

KUALA LUMPUR: Muara sungai yang cetek akibat lumpur tebal serta beting pasir, menyukarkan pergerakan keluar masuk bot ke pangkalan setiap hari hingga menjejaskan kehidupan nelayan sekitar Kedah, Perlis dan Terengganu.

Keadaan itu menyebabkan nelayan kawasan terjejas, terpaksa menunggu hingga air pasang tinggi, setiap kali mahu keluar atau masuk pangkalan masing-masing, bagi mengelak bot tersadai di lumpur atau terlanggar beting pasir.

Antara kawasan terjejas teruk dengan lumpur dan beting pasir itu ialah pangkalan nelayan di Dungun, Besut, Marang dan Paka di Terengganu; Kuala Sanglang, Kuala Kerpan, Kuala Kedah, Kuala Tunjang dan Langkawi di Kedah serta Kuala Perlis, Perlis.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Hamid Bahari, berkata masalah muara sungai cetek yang menghantui nelayan bukan sahaja menyebabkan pendapatan mereka terjejas, malah mengancam nyawa apabila bot berisiko bocor akibat terlanggar beting pasir.

“Sudahlah pendapatan terjejas, golongan itu khususnya nelayan pantai Kelas A dan mereka yang menggunakan sampan juga terpaksa memperuntukkan ribuan ringgit setiap kali bot rosak akibat muara sungai cetek.

“Hasil mesyuarat bersama nelayan seluruh negara, kebanyakannya membuat aduan berhubung masalah muara sungai cetek ini khususnya di Terengganu, Kedah dan Perlis. Masalah ini bukan setakat membabitkan sungai yang besar tetapi turut membabitkan kebanyakan muara kecil.


JENGKAUT sedang melakukan kerja pengorekan lumpur bagi tujuan mendalamkan muara dan laluan bot nelayan di Sungai Temoyong, Langkawi. - NSTP/ Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Masalah ini perlu ditangani segera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan mengenal pasti penyelesaian, khususnya membina benteng pemecah ombak di kawasan kritikal,” katanya kepada BH.

Hamid berkata, jika keadaan terbabit dibiarkan berterusan, pihaknya bimbang ramai nelayan tidak dapat turun ke laut sehingga menjejaskan bekalan ikan.

Katanya, masalah muara sungai cetek ini biasanya berlaku beberapa hari dalam tempoh sebulan, biasanya di antara jam 3 hingga 5 petang atau 7 hingga 8 malam, apabila tibanya keadaan air pasang dan surut.

Beliau berkata, kebiasaannya penyelesaian sementara diambil nelayan untuk mengelakkan masalah itu ialah berhijrah ke kawasan lain untuk memulakan 'perjalanan' ke laut atau menangguhkan rancangan ke laut.

Katanya, nelayan kawasan terjejas tiada pilihan kerana tidak sanggup menanggung kerosakan bot mereka, khususnya bahagian kipas atau enjin setiap kali terlanggar beting pasir.

Bot tenggelam

“Berdasarkan maklumat, ada kes bot nelayan yang hancur atau tenggelam sehingga mengancam nyawa mereka akibat kebocoran kerana terlanggar beting ketika muara cetek dan keadaan itu bertambah buruk apabila berlaku ribut,” katanya.


BOT nelayan tersadai tidak dapat ke laut akibat muara sungai cetek ketika air surut. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu, Mat Yassin Mohamed, berkata muara sungai cetek menyebabkan nelayan negeri itu berdepan kemalangan setiap tahun, bukan setakat merosakkan kepada bot, malah mengancam nyawa sendiri.

Katanya, isu itu perlu diselesaikan melalui pembinaan benteng pemecah ombak seperti mana dilaksanakan di Kuala Terengganu dan Kemaman sebelum ini yang berjaya menyelesaikan masalah berkenaan.

“Paling kritikal adalah di Dungun kerana tidak pernah dibina benteng pemecah ombak selain di Besut, Marang dan Paka yang memerlukan kajian semula terhadap benteng sedia ada.

“Masalah ini menyebabkan kami berdepan risiko kemalangan setiap tahun. Macam bot saya juga sudah tiga biji yang pecah akibat muara sungai cetek menyebabkan kami mengalami kerugian besar,” katanya.

Nelayan redah lumpur berdepan risiko enjin rosak

Lebih 2,000 nelayan pantai sekitar pulau ini mengaku sudah letih ‘berperang’ dengan lumpur yang menjadi punca muara sungai cetek setiap kali ingin keluar ke laut atau kembali ke jeti.


BOT nelayan tersadai tidak dapat ke laut akibat muara sungai cetek ketika air surut. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Justeru itu, kerajaan digesa mengambil tindakan lebih konkrit untuk menyelesaikan sepenuhnya masalah dihadapi, supaya mereka dapat bebas keluar masuk jeti sepanjang hari tanpa perlu risau dengan jadual pasang surut air.

Nelayan Kuala Melaka, Saad Hassan, 63, mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pembinaan benteng penahan ombak di kawasan laut terbuka untuk menyelesaikan masalah itu.

“Kalau boleh, buat (benteng) bentuk C yang tertutup dari ombak, dengan pelantar disediakan untuk tambat bot. Memang kos tinggi sikit, tetapi berbaloi dan selamat untuk bot nelayan.

“Kalau nak korek (mendalamkan sungai) dulu pun pernah buat, tetapi masalahnya tak pernah selesai. Benteng untuk menahan air pun tak dibuat, jadi kesannya tak tahan lama kerana apabila datang ombak, selut masuk balik dan memenuhi laluan jeti,” katanya.

Saad berkata, isu lumpur dan sungai cetek di Kuala Melaka diburukkan lagi dengan status sungai yang berada di atas tanah milik persendirian.


SEBAHAGIAN bot nelayan pantai di jeti Kuala Teriang, Langkawi yang terkesan dengan masalah air sungai cetek dan mendapan lumpur serius. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Rakannya, Ali Chik, 55, berkata masalah lumpur menyebabkan enjin rosak apabila ada nelayan meredah masuk ke jeti kerana tidak sanggup menunggu air kembali pasang.

“Bayangkan nelayan pulang menangkap ikan, tetapi tak dapat masuk ke jeti sebab air dah mulai surut. Apabila redah masuk, enjin bot rosak dimasuki lumpur dan kos sekali baiki sampai beribu ringgit. Kami harap kerajaan dapat buat bagi elok laluan masuk bot nelayan, biar kami semangat nak bekerja,” katanya.

Nelayan Kuala Teriang, Che Aziz Hassan, berkata masalah ketara waktu keluar ke laut kerana nelayan terpaksa bergantung kepada pasang surut air.

Keluar awal

“Kita ambil contoh nak keluar tangkap sotong, biasanya dalam jam 6 petang kami sudah sedia untuk keluar sebab tangkap sotong ni waktu malam. Masalah timbul apabila air surut jam 7 petang, jadi kami terpaksa keluar seawal 1 tengah hari lagi iaitu lima jam lebih awal untuk mengelak terkandas.


KEADAAN muara Sungai Ranggut yang menjadi laluan nelayan pantai di jeti Kuala Teriang, Langkawi ketika air sungai surut. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Dengan meninggalkan bot di tengah laut sampai 5 jam, bayangkan apa akan jadi kepada bot kalau ombak besar datang dan ribut yang melanda. Keadaan ini memang selalu berlaku.

“Itu dilema kami sebagai nelayan...kalau tak keluar awal, kami terpaksa tunggu jam 10 atau 11 malam pula untuk air pasang. Kalau lewat begitu, baik kami tak payah keluar terus,” katanya.

Pulau Langkawi mempunyai 17 muara sungai utama dengan 13 daripadanya menempatkan jeti nelayan. Secara keseluruhan pulau ini mempunyai 29 jeti nelayan.

Rekod JPS mengesahkan lapan muara yang menempatkan jeti nelayan pantai di pulau ini mengalami masalah mendapan ketara. Ia mendatangkan impak kepada operasi nelayan pantai khususnya ketika berlakunya air surut.

Lapan muara berkenaan ialah di Sungai Temoyong, Sungai Menghulu, Sungai Kelibang, Sungai Ranggut (Kuala Teriang), Sungai Kubang Badak, Sungai Kuah, Sungai Chenang dan Sungai Pengkalan Tepa, dengan jumlah nelayan pantai di semua lokasi hampir 1,000 bot.

Berita Harian X