Khamis, 16 Mei 2019 | 8:04pm
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penerima sempena program berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Nurul Falah, Tali Air 7, Kampung Sungai Leman. - NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Sultan Selangor serah zakat kepada 39 pelajar asnaf UiTM

SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di Masjid Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM19,900 kepada 39 pelajar UiTM.

Penerima sumbangan terdiri daripada 14 asnaf fakir, 13 asnaf miskin, sembilan asnaf fisabilillah dan tiga asnaf mualaf.

Setiap pelajar akan menerima zakat berjumlah RM800 hingga RM1,200 untuk pelajar Ijazah Sarjana Muda dan RM600 hingga RM800 untuk pelajar diploma manakala pelajar muallaf akan menerima RM500 setiap bulan.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim; Pro Canselor UiTM, Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Sultan Selangor kemudiannya membaca Surah Yasin bersama warga UiTM yang hadir.

Selepas berbuka puasa, baginda serta hadirin menunaikan solat Maghrib berjemaah dan akan diikuti solat Isyak dan Tarawih.

Berita Harian X