Rabu, 15 Mei 2019 | 8:26pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berbuka puasa bersama orang ramai di Padang MPK 1. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Air katira, satar, puding raja antara juadah berbuka Agong, Permaisuri

KUANTAN: Air katira, satar, puding raja, murtabak dan pulut panggang antara juadah dibeli Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bazar Ramadan Mahkota Square di sini, hari ini.

Baginda yang berkenan mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat Pahang di Padang MPK di sini, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di bazar itu pada 6.50 petang.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kiri) meninjau jualan di Bazar Ramadan Jalan Mahkota sebelum berbuka puasa bersama orang ramai di Padang MPK 1. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya berkenan ‘meronda’ bazar Mahkota Square selama hampir 15 minit untuk membeli juadah berbuka selain bertanya khabar peniaga dan pengunjung bazar, yang semuanya kelihatan teruja melihat kelibat baginda berdua.

Baginda berdua kemudiannya berkenan berbuka puasa di padang MPK 1 yang terletak bersebelahan bazar itu, yang merupakan tradisi tahunan pasangan diraja itu sejak dahulu pada setiap kali Ramadan.

Sementara itu, peniaga satar, Safiuddin Omar, 27, dari Kota Bharu, Kelantan mengakui agak terkejut apabila Al-Sultan Abdullah berkenan membeli satar dan pulut panggang jualannya, kerana kedudukan gerainya yang berada di barisan akhir.

“Tergamam juga apabila tuanku berada di depan kerana ini kali pertama saya menerima pelanggan diraja walaupun sudah tiga tahun berniaga di sini. Mungkin rezeki saya hari ini, tuanku berkenan membeli kerana sebelum ini saya hanya mendengar rakan-rakan peniaga dapat bertemu tuanku.

“Lebih seronok kerana mengetahui satar yang merupakan resepi keluarga saya menjadi sebahagian daripada juadah berbuka tuanku berdua untuk hari ini,” katanya yang sudah mengusahakan perniagaan itu selama lima tahun.

Peniaga air, Khairul Afendi Mohamed, 31, berkata Al-Sultan Abdullah berkenan membeli air katira, air kelapa, teh susu dan jus durian belanda di gerainya.

“Baginda juga ramah... sempat bertanya khabar dan ingin tahu bagaimana perniagaan pada kali ini sementara menanti saya membungkus air. Agak gemuruh juga tapi saya pura-pura tenang sahaja,” katanya. – BERNAMA

4682 dibaca
Berita Harian X