Rabu, 15 Mei 2019 | 3:28pm
SAKSI pakar forensik patologi Hospital Kuala Lumpur, (HKL) Dr Ahmad Hafizam memberi keterangan untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Saddam Yusoff

Prosiding inkues Adib gunakan van EMRS

SHAH ALAM: Prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini, dijalankan dengan merujuk kepada van Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) yang dibawa ke mahkamah.

Bagaimanapun, van EMRS itu bukan yang digunakan pada kejadian terbabit.

Koroner Rofiah Mohamad, Pegawai Pengendali dan pihak berkepentingan, mendengar penjelasan saksi ke-24, pakar forensik patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Dr Ahmad Hafizam dilihat memberi penerangan dapatan teorinya berhubung kecederaan yang menimpa Muhammad Adib pada awal pagi, 27 November tahun lalu di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.


SAKSI pakar forensik patologi Hospital Kuala Lumpur, (HKL) Dr Ahmad Hafizam memberi keterangan untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - NSTP/Saddam Yusoff

Pada sesi penerangan bermula jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari itu, saksi terbabit dilihat duduk di bahagian penumpang kiri hadapan van EMRS, sama seperti kedudukan Muhammad Adib pada hari kejadian.

Ia bagi memberi gambaran terhadap teori Dr Ahmad Hafizam iaitu mangsa keluar sendiri dari van sebelum terlanggar pintu van yang sedang mengundur lalu terjatuh.

Van EMRS berkenaan yang dipandu anggota bomba turut dibawa mengundur dengan kelajuan 17 kilometer sejam (km/j) seperti dapatan saksi terbabit.

211 dibaca
Berita Harian X