Selasa, 14 Mei 2019 | 2:09pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di bangunan Perdana Putra, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

IPCMC: Jangan khuatir jika tak bersalah - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad percaya penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bukan sahaja dapat membela imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi turut menjaga kebajikan pasukan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, tiada apa yang perlu dikhuatirkan bagi anggota PDRM yang tidak melakukan kesalahan.

Beliau turut menzahirkan kesyukuran kerana isu bantahan PDRM terhadap penubuhan suruhanjaya itu berjaya diselesaikan.

“Bagi anggota polis yang tidak melakukan kesalahan, saya rasa tidak ada apa yang perlu dikhuatirkan,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) Kali Ke-8 di bangunan Perdana Putra di sini, hari ini​.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mengucapkan tahniah kepada pihak Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, ini berikutan kejayaan kedua-dua pihak berbincang serta menjelaskan kepada wakil persatuan polis mengenai kepentingan untuk mewujudkan IPCMC bagi memulihkan imej PDRM di mata rakyat.

Penubuhan IPCMC dilaporkan diteruskan selepas tiada halangan daripada pihak PDRM dalam satu sesi perbincangan dengan GIACC Jumaat lalu.

Abdul Hamid pada sidang akhbar selepas perbincangan itu berkata, PDRM berpuas hati dengan proses perbincangan berkenaan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata IPCMC dijangka dibentuk hujung tahun ini dengan Rang Undang- Undang (RUU) IPCMC akan dibentang pada sesi Parlimen berikutnya.

Berita Harian X