Selasa, 14 Mei 2019 | 11:00am

Kedah berisiko hilang hasil premium lebih RM190.8j

KUALA LUMPUR: Kedah berisiko hilang hasil pendapatan membabitkan royalti dan bayaran premium melebihi RM190.8 juta apabila keseluruhan kawasan Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) ‘dihentikan’ daripada aktiviti pembalakan jika diwartakan sebagai Taman Negeri.

Sumber berkata, sebelum ini, Kedah meluluskan lesen pembalakan di kawasan melebihi 10,000 hektar di HSUM bagi aktiviti pembalakan dengan purata hasil yang boleh dimiliki kerajaan negeri melebihi RM14,000 sehektar.

“Bagi kelulusan lesen untuk syarikat konsesi pembalakan sejak 2014 hingga 2017 yang kita hentikan aktivitinya sejak hujung tahun lalu, ia menyebabkan kerajaan negeri kehilangan RM190.8 juta hasil premium,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, hanya 12 peratus atau kira-kira 12,720 daripada keseluruhan 106,000 hektar HSUM dikategorikan sebagai hutan perlindungan, iaitu kawasan yang tidak dijalankan bagi aktiviti pembalakan.

93,280 hektar hutan pengeluaran

Katanya, sebaliknya baki 93,280 hektar lagi dikategorikan sebagai hutan pengeluaran yang membenarkan bagi aktiviti pembalakan sebelum 2010.

Sumber berkata, untuk tempoh itu sehingga tahun lalu, sekurang-kurangnya 15,000 hektar kawasan diluluskan bagi aktiviti pembalakan.

“HSUM mempunyai dua kategori hutan, iaitu hutan pengeluaran dan perlindungan yang mana semua aktiviti pembalakan hanya dijalankan di hutan pengeluaran yang mewakili 88 peratus daripada keseluruhan 106,000 hektar.

“Dalam tempoh sebelum 2010 sehingga 2018, kelulusan yang dikeluarkan untuk aktiviti pembalakan di HSUM membabitkan di kawasan seluas kira-kira 15,000 hektar yang dilakukan menerusi pengurusan hutan secara berkekalan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, selepas kerajaan negeri menghentikan serta-merta lesen pembalakan di HSUM September lalu, semua aktiviti pembalakan dan kelulusan ditangguhkan sehingga keputusan baharu dibuat kerajaan negeri.


Hutan Simpan Ulu Muda di Tasik Pedu. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Katanya, ia menyebabkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah tidak dapat mengutip sebarang royalti daripada syarikat konsesi berikutan mereka tidak boleh mengeluarkan balak di sebahagian kawasan seluas 15,000 hektar itu.

“Penebangan pokok juga dihadkan, iaitu hanya pokok yang bergaris pusat 55 sentimeter (sm) ke atas, manakala ia hanya boleh dibalak semula dalam tempoh 30 tahun, selain tiada pembalakan di kawasan 20 meter dari sungai,” katanya.

Pulau Pinang tak cadang bayar pampasan

Pulau Pinang tidak bercadang membayar pampasan kepada Kedah dalam usaha mewartakan Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) sebagai kawasan tadahan air.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa, berkata urusan bayaran pampasan kepada kerajaan Kedah bagi tujuan itu perlu dilakukan Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana Pulau Pinang sudah membayar kira-kira RM18 bilion kepada Kerajaan Persekutuan melalui cukai barangan, perkhidmatan dan pendapatan.

“Justeru, Kerajaan Persekutuan sepatutnya menggunakan wang cukai dibayar Pulau Pinang itu untuk membayar pampasan kepada kerajaan Kedah,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau mengulas laporan BH semalam mengenai sumber air bagi hampir empat juta penduduk di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, dikhuatiri terancam sekiranya HSUM tidak diwartakan sebagai Taman Negeri.

Sumber air terancam

Laporan itu menyebut kegagalan berbuat demikian juga boleh mengancam pengeluaran makanan di kawasan Jelapang Padi Negara yang menerima air dari HSUM bagi tujuan pengairan sawah. Sawah di Kedah dan selatan Perlis menyumbang 45 hingga 50 peratus pengeluaran beras negara.

Sumber air di HSUM boleh terancam melalui aktiviti pembalakan dan penerokaan, sama ada secara sah atau haram serta akibat perubahan iklim.

Dalam pada itu, Jaseni berkata, Pulau Pinang tidak berdepan masalah mengenai keupayaan merawat air mentah, sebaliknya menghadapi kekangan untuk mendapat atau menghasilkan sumber air.

“Masalah di Pulau Pinang ialah kita tak cukup bekalan air mentah, manakala keupayaan kita merawat (air) adalah berlebihan. Pulau Pinang kena beli air mentah dari Perak sebab Sungai Muda sudah tidak boleh memenuhi permintaan selepas 2025 nanti.

“Kita ada melihat pilihan air laut sebagai antara punca air mentah bagi Pulau Pinang, tetapi kosnya terlalu mahal berbanding air sungai.

“Namun, kita akan tengok semula cadangan (sumber) air laut ini selepas habis sumber air dari sungai nanti,” katanya.

Berita Harian X