Isnin, 13 Mei 2019 | 4:24pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking. - Foto Supian Ahmad

Kerajaan yakin EU tidak boikot minyak sawit

KANGAR: Kerajaan yakin Kesatuan Eropah (EU) tidak akan meneruskan agenda memboikot minyak sawit berikutan banyak negara di rantau itu bergantung kepada bahan komoditi berkenaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, berkata majoriti negara Eropah bergantung kepada minyak sawit dalam mengeluarkan pelbagai produk.

Katanya, rancangan memboikot minyak sawit dari Asia tertumpu untuk tidak menggunakannya dalam bahan bakar bio, namun tidak ke atas produk lainnya.

“Mereka (EU) tahu banyak produk dari Eropah seperti makanan bercoklat, coklat dan pelbagai produk lain menggunakan bahan berasaskan minyak sawit bagi dikeluarkan.

“Jadi jika mereka hendak memboikot, ia bukan pemboikotan secara menyeluruh kerana EU menyedari hakikat bahawa tahap kebergantungan mereka terhadap minyak sawit kita adalah tinggi.

“Saya lihat isu ini sengaja diperbesarkan pemain industri lain di Eropah dalam usaha melobi agar bahan asas keluaran mereka dapat bertapak lebih stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, sempena lawatan kerjanya ke negeri itu hari ini.

Sebelum ini, Perancis merancang untuk mengekang penggunaan minyak sawit dalam bahan bakar bio menjelang 2020 ekoran kesan alam sekitar tanaman itu yang sebahagian besarnya dihasilkan di Indonesia dan Malaysia.

Darell berkata, dia bersetuju dengan tindakan Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang menjalinkan kerjasama dengan Indonesia bagi mewujudkan penyelesaian dalam menghadapi tekanan yang diwujudkan EU.

“Sebenarnya tindakan memboikot tidak baik untuk sesebuah negara, tetapi dalam hal ini ia lebih kepada menimbulkan persepsi negatif terhadap produk minyak sawit.

“Jadi bagi menjamin keselamatan industri ini, saya bersetuju dengan Menteri Industri Utama yang menjalin kerjasama dengan Indonesia memandangkan kedua-dua negara ini ialah pengeluar dan pengeksport terbesar minyak sawit ke Eropah,” katanya.

Beliau berkata, EU juga seharusnya tidak menyasarkan atau memberi persepsi negatif terhadap negara lain, khususnya negara pengeluar utama minyak sawit hanya kerana negara di Eropah tidak memiliki komoditi itu.

124 dibaca
Berita Harian X