Isnin, 13 Mei 2019 | 4:05pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengadakan lawatan rasmi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

Kementerian Kesihatan tiada kuasa ambil tindakan terhadap doktor antivaksin

KLANG: Kementerian Kesihatan tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap doktor yang menyokong gerakan antivaksin di negara ini, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, ini kerana sebarang isu membabitkan doktor terletak bawah bidang kuasa Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Saya nasihatkan masyarakat untuk melaporkan kepada MMC. Masyarakat kena tampil buat laporan kepada MMC dan biar MMC tentukan apa tindakan susulan kepada mereka (doktor).

“Di pihak kementerian, kita mengambil pendekatan untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan mewajibkan vaksin kepada semua bayi dan kanak-kanak, termasuk berhujah dengan golongan antivaksin.

“Jika golongan antivaksin ada hujah mereka, kita pun ada hujah kita,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim, Pengarah HTAR, Dr Mohamad Sabri Othman.

Ditanya sama ada Kementerian Kesihatan mempunyai data bilangan doktor di negara ini yang dikesan menyokong gerakan antivaksin, Dr Dzulkefly berkata pihaknya tidak membuat pemantauan berhubung isu itu.

“Namun, kita tegaskan bahawa Kementerian Kesihatan sentiasa memantau sebarang kempen yang dianjurkan golongan aktivaksin ini. Adalah penting kita terus memberi penerangan mengenai kepentingan vaksin,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kertas cadangan untuk mewajibkan bayi dan kanak-kanak mendapatkan suntikan vaksin kini pada peringkat akhir sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet.

“Saya difahamkan, pada Rabu lalu pihak berkaitan sudah membentangkan cadangan ini kepada ketua pengarah (Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) dan saya kena tunggu pula ketua pengarah bentang kepada saya.

“Perkara ini tidak boleh dibuat tergesa-gesa dan saya minta semua pihak bersabar. Banyak sudut perlu dilihat kerana ada isu kritikal yang perlu dilihat serta saling berkait. Perkara penting ialah anak kita semua selamat,” katanya.

Mac lalu, media melaporkan Dr Dzulkefly berkata kementerian perlu meminda undang-undang sebelum mewajibkan dua suntikan vaksin membabitkan difteria dan MMR untuk merawat demam campak, beguk serta rubella.

Sebelum ini, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) mendesak kerajaan mewajibkan suntikan vaksin bagi mengurangkan penyebaran penyakit yang dapat dielakkan menerusi vaksin di negara ini.

Berita Harian X