Isnin, 13 Mei 2019 | 2:45pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada Datuk Mazlan Mansor, selaku Timbalan Ketua Polis Negara baharu di Putrajaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Penubuhan IPCMC hujung tahun ini - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dijangka dibentuk hujung tahun ini, selepas pembentangan Rang Undang- Undang (RUU) berkaitan pada sesi Parlimen berikutnya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penggubalan RUU IPCMC yang mengikut perkiraan beliau sudah dimulakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) , akan dapat diselesaikan dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama.

“Ada beberapa sesi Parlimen yang akan kita hadapi sebelum akhir tahun ini untuk membolehkan RUU IPCMC dibentang dan diluluskan di Parlimen.

“Jadi, bagaimana dijangka dan diharapkan, boleh dapat kita bentuk IPCMC ini sebelum akhir tahun,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada Datuk Mazlan Mansor, selaku Timbalan Ketua Polis Negara baharu di sini, hari ini.

Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, baru-baru ini berkata penubuhan IPCMC akan diteruskan selepas mendapat persetujuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara itu dicapai melalui perbincangan antara GIACC dengan 20 wakil jabatan PDRM dan persatuan polis diketuai Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, di Perdana Putra.

Abu Kassim berkata pada prinsipnya, beliau boleh nyatakan tiada halangan dan sokongan diberikan (PDRM) kepada kerajaan untuk penubuhan IPCMC.

Selain itu, Muhyiddin berkata apa yang menjadi kebimbangan PDRM berkenaan IPCMC sudah dijawab dalam pertemuan bersama GIACC.

“Soal kuasa polis, hak merayu, soal berkaitan disiplin...semua sudah dijelaskan dan PDRM berpuashati dengan penjelasan diberi GIACC,” katanya.

Berita Harian X