Isnin, 13 Mei 2019 | 11:18am
Sumber air bagi hampir empat juta penduduk di tiga negeri - Kedah, Pulau Pinang dan Perlis - dikhuatiri terancam jika Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) di Kedah tidak diwartakan sebagai Taman Negeri.

Ulu Muda terancam

KUALA LUMPUR: Sumber air bagi hampir empat juta penduduk di tiga negeri - Kedah, Pulau Pinang dan Perlis - dikhuatiri terancam jika kawasan Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) di Kedah tidak diwartakan sebagai Taman Negeri.

Kegagalan berbuat demikian juga boleh mengancam pengeluaran makanan dari kawasan Jelapang Padi Negara yang menerima air dari hutan simpan berkenaan bagi tujuan pengairan sawah. Sawah di Kedah dan selatan Perlis menyumbang 45 hingga 50 peratus pengeluaran beras negara.

Sumber air di HSUM boleh terancam melalui aktiviti pembalakan dan penerokaan, sama ada secara sah atau haram serta perubahan iklim. Lokasi itu hanya berstatus hutan simpan yang membenarkan aktiviti pembalakan di kawasan tertentu bagi tempoh setiap 35 tahun.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata kegagalan berbuat demikian juga boleh berisiko menjejaskan industri pelancongan dan perindustrian juga khususnya di Kedah serta Pulau Pinang.

Ini kerana, bekalan air dari Ulu Muda juga kritikal untuk menampung keperluan industri berat, kilang elektronik dan sektor pelancongan di Kedah dan Pulau Pinang, sekali gus turut berperanan menarik pelaburan dan menghasilkan puluhan ribu peluang pekerjaan.


Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail. - NSTP/Rozainah Zakaria

Tasik di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda. - Arkib NSTP

Bekal 96 peratus air

Sehingga kini, Ahmad berkata, HSUM membekalkan kira-kira 96 peratus air mentah untuk Kedah, 70 peratus untuk Perlis dan lebih 80 peratus kepada Pulau Pinang bagi tujuan kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian.

Bagi industri beras pula, Ahmad berkata, sawah boleh terancam kerana sumber air dari hutan itu kini digunakan bagi pengairan 96,558 hektar sawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Jika sumber air dari HSUM tergugat, bagaimana kita mahu memastikan pengairan sawah tidak terganggu pada masa depan, sedangkan kita tahu peranan Ulu Muda menyumbang kepada jaminan keselamatan makanan melalui industri padi.

“Kedah juga ada industri pelancongan hebat di Langkawi yang boleh terkesan jika sumber air di HSUM tidak dilindungi melalui pewartaan terbabit. Begitu juga sektor perindustrian di Pulau Pinang. Jika diwartakan sebagai Taman Negeri, automatiknya kawasan tadahan air di situ juga akan terjaga,” katanya.

Beliau berkata, MNS mencadangkan kerajaan mewartakan keseluruhan kawasan HSUM yang menempatkan empat empangan penting, iaitu Empangan Pedu, Muda, Ahning dan Beris sebagai Taman Negeri.

“Sumber air di HSUM boleh terancam melalui aktiviti pembalakan, sama ada sah atau haram, perubahan iklim dan penerokaan tanpa kebenaran. Sehingga kini, Ulu Muda hanya diwartakan sebagai Hutan Simpan dan kerja pembalakan dibenarkan di kawasan tertentu dikhaskan untuk tujuan itu setiap 35 tahun,” katanya.

Tahun lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuat keputusan menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan itu demi memulihara khazanah alam di hutan simpan berkenaan walaupun kerajaan kehilangan hasil bernilai jutaan ringgit.


Kelihatan gajah berkeliaran berhampiran anak sungai di sekitar Ulu Muda. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Mineral yang terdapat di kawasan sira air panas di kawasan hutan di Ulu Muda. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Hentikan pembalakan

Ahmad berkata, langkah menghentikan aktiviti pembalakan sahaja tidak cukup kerana hanya bersifat sementara, malah risiko kerja pembalakan kembali aktif boleh berlaku jika ada pertukaran pemimpin atau kerajaan di Kedah.

“Pembalakan memang jadi pilihan menambah pendapatan negeri kerana ia bersifat quick money (hasil cepat). Apa pun, kita sambut baik usaha Mukhriz, namun sejauh mana boleh dipastikan keputusan itu akan kekal untuk jangka panjang?

“Jika berlaku perubahan kepemimpinan, keputusan (batal pembalakan) boleh dipinda. Bagaimanapun, jika HSUM diwartakan sebagai Taman Negeri, ia bersifat kekal dan tiada siapa boleh sentuh kawasan itu meskipun berlaku pertukaran kepemimpinan atau kerajaan negeri," katanya.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pernah melaporkan, Empangan Muda merekodkan storan kapasiti hanya dalam lingkungan 50 peratus.

Tiga lembangan pula dijangka perlukan tambahan bekalan air dari empangan sedia ada, iaitu Lembangan Sungai Muda (Empangan Beris), Lembangan Sungai Kedah (Empangan Muda, Pedu dan Ahning) bagi aktiviti pertanian.


Pokok tualang yang menjadi kegemaran lebah membuat sarang, antara spesies yang terdapat di Hutan Simpan di Ulu Muda. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Ahmad berkata, kerajaan perlu menjalankan kajian hidrologi di HSUM untuk mengenal pasti faktor ‘kehilangan’ air, selain berapa lama sumber itu mampu bertahan jika berlaku kejadian tidak dijangka seperti kemarau berterusan.

“Setiap tahun kita akan dengar masalah atau catuan air di Kedah, sedangkan negeri itu ada empangan yang besar. Selain faktor cuaca yang menyumbang ke arah itu, saya rasa amat penting bagi pihak bertanggungjawab di Kedah untuk menguruskan air dengan baik.

“Antara caranya, perlu ada kajian hidrologi yang boleh mengenal pasti berapa banyak air keluar (untuk kegunaan domestik, pertanian), berapa lama sumber mampu bertahan dan berapa banyak air terbazir setiap kali terpaksa dilepaskan ke laut ketika proses pengairan sawah dilakukan,” katanya.

Berita Harian X