Isnin, 13 Mei 2019 | 11:00am
Mohamad Zabawi (tengah) bersama Rozeita mendengar penerangan Pegawai Penyelidik MARDI, Saiful Zaimi Jamil ketika lawatan ke tapak penyelidikan tanaman kubis di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands, semalam. - NSTP/Supian Ahmad

Contohi kaedah pertanian Orang Asli

CAMERON HIGHLANDS: Pengusaha ladang pertanian perlu mencontohi kaedah pertanian yang diamalkan masyarakat Orang Asli.

Pengarah Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata amalan mereka ialah sentiasa berpindah kawasan untuk bercucuk tanam.

Katanya, langkah itu bagi memastikan tanah pertanian yang diusahakan sebelum ini dapat direhatkan dalam tempoh tertentu supaya tekstur tanah itu elok semula.

“Konsep Orang Asli boleh dihargai. Mereka tahu tanah tak subur, mereka pun pindah atau pulangkan tanah itu semula.

Kaedah boleh rehatkan tekstur tanah

“Cara mereka buat itu betul. Kena bagi tanah itu rehat. Ini tidak, habis musim kita guna balik tanah itu lagi dan lagi, berterusan dalam tempoh lima hingga enam tahun.

“Lama kelamaan kalau terlalu lama guna tanah itu, pembajaan berterusan akan bentuk akumulasi garam sehingga mengganggu tekstur tanah, ganggu pengudaraan sekali gus menjadi tanah kurang subur atau kita panggil dead soil (tanah mati),” katanya kepada BH.

Mengulas penggunaan racun dalam sektor pertanian di pusat peranginan tanah tinggi itu, Mohamad Zabawi berkata, racun yang digunakan tinggi disebabkan kawasan pertanian berkumpul setempat.

Katanya, alasan segelintir petani yang menggunakan racun pada tahap tinggi adalah mahu menampakkan hasil tanaman mereka cantik dan ‘sihat’.

“Satu nak nampak cantik. Hasil tidak musnah. Kalau sembur dapat hasil besar. Tak sembur tak besar. Kalau asyik fikir nak jual, memang kita pun akan fikir nak dapatkan hasil.

“Secara peribadi, pengguna racun haram tidak dapat dielakkan. Tetap akan ada dan tak dapat elak walaupun ada peraturan.

“Di Cameron Highlands memang ada. Mungkin sekarang sudah pun berkurangan. Lagipun ada racun baharu yang sama efektif. Petani pun akan tinggal racun lama,” katanya.

MARDI bangun kaedah kurangkan guna racun

Penghasilan kubis bulat secara besar-besaran sehingga mencecah 68,000 tan setahun di kawasan tanah tinggi ini sekali gus menyebabkan penggunaan racun makhluk perosak yang tinggi.

Sayur itu dikategorikan sebagai jenis krusifer atau berdaun yang memerlukan penggunaan racun makhluk perosak yang banyak.

Kubis bulat ditanam di kawasan seluas lebih 2,700 hektar di Cameron Highlands.

Timbalan Pengarah Program Kawalan Biologi, Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran MARDI, Dr Rozeita Laboh, berkata pihaknya kini giat melakukan penyelidikan bagi penghasilan ejen kawalan perosak secara biologi di kawasan berkenaan sekali gus mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak.

“Daripada rekod kajian terdahulu, penggunaan racun makhluk perosak dapat dikurangkan sehingga melebihi 50 peratus mengikut amalan yang betul.

Bunuh makhluk perosak

“Saya harap pengusaha tanaman sayuran krusifer terutama kubis membuka mata dan minda terhadap perubahan yang berlaku di negara pertanian yang maju seperti Sepanyol.

“Sepanyol dapat mengurangkan 100 peratus penggunaan racun perosak bagi pengeluaran sayuran di bawah struktur pelindung hujan dengan mengamalkan penggunaan ejen kawalan biologi,” katanya.

Ejen kawalan perosak secara biologi adalah kaedah lestari yang mengetengahkan penggunaan musuh semula jadi bertujuan mengurangkan populasi perosak pada tanaman.

Katanya, serangga perosak yang menjadi musuh utama petani kubis di Cameron Highlands adalah rama-rama intan atau nama saintifiknya Plutella Xylostella.

Serangga perosak itu dikenal pasti rintang terhadap pelbagai jenis racun perosak yang akhirnya apabila digunakan secara berleluasa boleh memberi impak negatif terhadap hasil pengeluaran pertanian dan alam sekitar.

“Bagi mengatasi masalah ini, MARDI membangunkan kaedah kawalan biologi yang menggunakan parasitiod iaitu Diadegma Semiclausum dan Cotesia Vestalis daripada jenis parasitiod yang berbentuk seakan-akan nyamuk.

Ejen kawalan biologi

“Parasitiod bertindak sebagai ejen kawalan biologi dengan melengkapkan kitar hidupnya dalam perumahnya (rama-rama intan) dengan menyuntik telur ke dalam larva rama-rama intan. Secara tidak langsung ia akan membunuh perosak secara semula jadi.

“Hasil kajian mendapati Diadegma semiclausum dan Cotesia vestalis mampu menyuntik telur ke larva rama-rama intan lebih daripada 70 kali sepanjang kitaran hidupnya,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, kebiasaannya, selepas disuntik oleh parasitoid betina, larva parasitoid akan meneruskan kemandiriannya di dalam badan perumah iaitu perosak Plutella Xylostella.

Bagi spesies Diadegma Semiclausum, larva parasitoid akan berkembang sebagai kepompong yang sama dengan Plutella Xylostella.

Bagi spesies Cotesia Vestalis, katanya, larva parasitoid akan keluar daripada badan larva Plutella Xylostella lalu akan mati, lantas membentuk kepompong sendiri di luar larva Plutella Xylostella.

Rozieta berkata, perkembangan kitaran hidup parasitiod bermula dari telur sehingga pupa dipengaruhi perubahan suhu dan secara puratanya dalam tempoh 14 hingga 25 hari pada suhu antara 20 hingga 25 darjah Celsius.

Berita Harian X