Ahad, 12 Mei 2019 | 4:36pm

Untung sewa atas sewa

KUALA LUMPUR: Permintaan tinggi terhadap tapak niaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di ibu kota, mendorong peniaga menyewakan semula lot itu sebagai cara mudah meraih keuntungan.

Tahun ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan sewa RM300 bagi petak jualan makanan berukuran 1.8 meter persegi, manakala RM1,000 bagi jualan pakaian untuk petak berkeluasan 2.4 meter persegi.

Bagaimanapun, tinjauan BH dalam kalangan peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di beberapa lokasi sekitar ibu kota, mendapati ada pihak menyewakan semula tapak berkenaan sehingga 10 kali ganda daripada kadar sewa yang dibayar kepada DBKL.

Tinjauan mendapati ada yang menyewakannya sehingga RM7,000 bagi satu petak jualan pakaian berukuran 2.4 meter persegi, di Dataran Merdeka, Jalan Raja di bawah kendalian DBKL.

Selain itu, ada yang menyewa pada kadar RM3,000 untuk satu petak jualan makanan di MyTown, Cheras dan Bandar Tasik Selatan, tetapi kawasan itu bukan di bawah kendalian DBKL.

Pihak yang berminat untuk berniaga di lokasi terbabit, perlu membayar sewaan secara tunai kepada pemilik tapak atau ejen mereka dan tidak boleh dilakukan melalui transaksi bank.

Pada hari pertama Ramadan, tinjauan mendapati masih banyak petak kosong di Jalan Raja, belum dimasuki penyewa yang diberi peluang niaga oleh DBKL.

Cari penyewa ambil alih petak

Namun, BH dimaklumkan sumber, ada lebih 20 pemilik tapak di situ, sedang mencari penyewa bagi mengambil alih petak mereka di situ.

Seorang peniaga yang enggan didedahkan nama, berkata walaupun terpaksa membayar RM7,000 kepada pemilik asal, dia masih berpuas hati kerana lokasi itu dilengkapi kemudahan seperti kipas, bumbung dan sumber elektrik.


Wartawan BH menemu bual ejen tapak bazar Ramadan di Jalan TAR.

Tapak bazar Ramadan bukan di bawah kendalian DBKL dijual kepada peniaga terletak di kawasan lapang bersebelahan pusat beli-belah MyTown Cheras, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

“Saya membayar RM1,000 untuk sewa lesen dan RM6,000 untuk sewa tapak, dahulu lebih murah antara RM3,000 hingga RM5,000, sepanjang Ramadan.

“Alasan sewa dinaikkan kerana ia lokasi tumpuan ramai, termasuk pelancong dari luar. Saya harap mampu meraih keuntungan yang lebih bagi menampung kadar sewa tinggi yang sudah dibayar,” katanya.

Di bazar MyTown pula, BH dimaklumkan penyewaan tapak dikendalikan beberapa ejen mengikut kawasan yang sudah diagihkan di antara mereka.

Lokasi bazar MyTown dan Bandar Tasik Selatan baru dibuka untuk operasi sempena Ramadan, bagaimanapun, tidak disediakan fasiliti lengkap seperti sumber air dan elektrik untuk kemudahan berniaga.

Seorang peniaga makanan di MyTown, yang enggan namanya didedahkan, berkata tanpa kemudahan lengkap, pihaknya menghadapi kesukaran kerana terpaksa berulang-alik sejauh dua kilometer untuk mengambil bekalan air.

“Kos sewa di sini agak mahal berbanding lokasi lain yang dilengkapi fasiliti, tetapi saya terpaksa mengambil peluang ini untuk mencari nafkah berikutan lokasi lain sudah penuh.

“Pendapatan bersih harian saya sebelum ini di bazar adalah RM100 sehari. Jika kurang, saya akan rugi kerana tidak pulang modal sewa RM3,000.

“Kanopi dan meja perlu disediakan sendiri oleh peniaga masing-masing,” katanya.

Berita Harian X