Ahad, 12 Mei 2019 | 3:28pm
AINUL Mardhiah Ahmad Safiuddin. - Foto BERNAMA

Pakar bincang laporan CT-Scan Ainul Mardhiah esok

MELAKA: Sekumpulan doktor pakar bedah dari United Kingdom (UK) akan memberikan maklum balas selepas meneliti keputusan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin esok.

Ainul Mardhiah, yang menderita kanser mulut Germ Cell Tumor dibawa oleh ibu bapanya menjalani CT Scan di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor, Khamis lalu.

Laporan imbasan itu diperlukan oleh Dr Nur Amalina Che Bakri, pakar bedah rakyat Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom, dalam usaha merawat kanak-kanak itu.

Bapa kanak-kanak itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata dia dan isteri, Nurul Erwani Zaini, 24, kerap berhubung dengan Dr Nur Amalina menerusi aplikasi WhatsApp, selain diminta untuk membuat persediaan untuk pembedahan Ainul Mardhiah di sana.

“Kami saling berhubung (dengan Dr Nur Amalina) melalui WhatsApp, termasuk sudah memberikan keputusan CT Scan kepadanya. Kata Dr Amalina, doktor pakar di sana akan berbincang esok.

“Malah, Dr Amalina meminta kami untuk buat persediaan untuk pergi ke sana (UK). Insya-Allah, jika tiada halangan kami akan berangkat dalam masa terdekat ini,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan sekumpulan pakar dari UK termasuk Dr Nur Amalina sedia melakukan pembedahan Ainul Mardhiah dengan kos rawatan dianggarkan lebih RM1 juta bagi membuang ketumbuhan dan rawatan susulan.

Malah, Ketua Menteri, Adly Zahari yang melahirkan rasa simpati terhadap penderitaan bayi perempuan itu turut menzahirkan komitmen kerajaan Melaka untuk membiayai kos pengangkutan dan penerbangan keluarga itu bagi rawatan pembedahan di UK.

Ditanya sama ada jumlah sumbangan mencukupi memandangkan kos rawatan itu dikatakan mencecah RM1 juta, Ahmad Safiuddin berkata, beliau yakin dapat memenuhi kos perubatan selain bersyukur dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang terus menyumbang kepada anaknya.

“Alhamdulillah, rakyat Malaysia sangat baik hati. Berapa lagi (sumbangan) yang diperlukan, saya masih tidak pasti kerana belum tahu jumlah keseluruhan bagi rawatan pembedahan,” katanya.

Katanya, keadaan kesihatan Ainul Mardhiah juga ketika ini cukup baik dan ceria, sekali gus terus mengharapkan sokongan serta doa seluruh masyarakat dalam usaha tawakalnya kepada Allah SWT untuk memulihkan penyakit kanser mulut dihadapi anaknya.

1225 dibaca
Berita Harian X