Sabtu, 11 Mei 2019 | 1:39pm
NAIB Presiden BERSATU, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada Program Peniaga dan Usahawan Santuni Asnaf di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri

Jangan sibuk sangat perubahan Perdana Menteri - Abdul Rashid

KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyelar kenyataan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang mengeluarkan kenyataan mengugut mahu bersara, sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memberikan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden BERSATU, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, turut menasihatkan pemimpin parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) supaya tidak sibuk berhubung perubahan Perdana Menteri, sebaliknya melihat perubahan dan baik pulih ekonomi yang dilakukan Dr Mahathir.

“Saya antara salah seorang yang ada dalam perbincangan tentang Perdana Menteri sementara, dan macam mana perubahan Perdana Menteri akan berlaku. Semua pemimpin kena percaya kepada Dr Mahathir kerana saya yakin tiba masanya beliau akan berundur.

“Selepas mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir banyak melakukan perubahan untuk baik pulih ekonomi dan saya yakin Anwar Ibrahim juga mampu sekiranya diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri.

“Namun, buat masa ini kita melihat Dr Mahathir masih mampu dan mempunyai wawasan serta program tersendiri untuk memulihkan ekonomi. Semua maklum bahawa Dr Mahathir adalah hero bab ekonomi, jadi tidak usahlah pemimpin dari parti lain membuat kenyataan yang menimbulkan spekulasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Peniaga dan Usahawan Santuni Asnaf di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, kenyataan yang dikeluarkan Kit Siang itu adalah gejala yang tidak sihat kepada PH kerana Dr Mahathir sendiri sudah banyak kali memaklumkan akan berundur sekiranya tiba masanya.

Sebuah portal berita melaporkan, Kit Siang sanggup bersara daripada politik sekiranya Dr Mahathir tidak menunaikan dengan memberikan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Kit Siang berkata, beliau tidak suka membuat pertaruhan tetapi kali ini bersedia untuk berundur dari arena politik dan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

1064 dibaca
Berita Harian X