Sabtu, 11 Mei 2019 | 1:12pm

Bubur lambuk beras perang untuk warga Kodiang

KUBANG PASU: Bubur lambuk istimewa menggunakan beras perang Padiberas Nasional (BERNAS) akan diedarkan di sekitar Pekan Kodiang di sini, petang ini.

Pengarah Operasi BERNAS, Shahrul Nizam Abdullah, berkata lebih 1,000 bungkus bubur lambuk akan diedar sempena kolaborasi Program Semarak Ramadan BH 2019 bersama program Ikhlas Ramadan BERNAS.

“Kita memilih menggunakan beras perang kerana memberi khasiat yang lebih berbanding beras biasa.

“Tiga periuk digunakan untuk memasak bubur lambuk hasil kerjasama gotong royong antara jawatankuasa Masjid Jamek, staf BERNAS dan penduduk sekitar,” katanya.


PENGARANG Eksekutif Komersial dan Ehwal Semasa Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (tengah) bersama Pengarah Operasi Padi Beras Nasional Bhd (BERNAS), Shahrul Nizam Abdullah (tiga dari kanan) mengacau bubur lambuk pada Majlis Gotong-Royong Memasak di Masjid Jamek, Kodiang. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Beliau berkata demikian ketika gotong royong menyediakan bubur lambuk di pekarangan Masjid Jamek di sini, pagi tadi.

Selain pengagihan bubur lambuk, program itu juga membabitkan penyerahan bantuan barangan keperluan kepada 50 keluarga terpilih.

Sementara itu, Pengarang Eksekutif Komersial dan Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata Program Semarak BH kini memasuki tahun ke 10 selepas kali pertama diadakan pada 2009.

Katanya, program kerjasama antara BH dengan rakan strategik itu bertujuan meraikan golongan yang kurang bernasib baik untuk sama-sama menyambut Ramadan.

“Pada masa yang sama dapat mengeratkan hubungan antara penduduk, jawatankuasa masjid melalui aktiviti gotong royong.

“Semarak Ramadan BH kali ini adalah yang kedua pada Ramadan ini selepas di Shah Alam, baru-baru ini,” katanya.

Berita Harian X