Jumaat, 10 Mei 2019 | 6:12pm
Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed bersalaman dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador selepas mempengerusikan mesyuarat penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Polis setuju penubuhan IPCMC - Abu Kassim

PUTRAJAYA: Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan diteruskan selepas mendapat persetujuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara itu dicapai melalui perbincangan antara Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan 20 wakil jabatan PDRM dan persatuan polis diketuai Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Perdana Putra di sini, hari ini.

Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata semua perkara yang menjadi perhatian PDRM berhubung penubuhan suruhanjaya itu sudah dijelaskan pada perbincangan itu.

“Pada prinsipnya, saya boleh nyatakan tiada halangan dan sokongan diberikan (PDRM) kepada kerajaan untuk penubuhan IPCMC.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlukan sedikit perbincangan dalam masa seminggu dua ini, sebelum ia dibawa ke Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus bersama persatuan polis berhubung cadangan Rang Undang-Undang penubuhan IPCMC.

Selain Abdul Hamid, turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Setiausaha Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Mohamad Onn Abd Aziz.

Abu Kassim berkata antara kebimbangan yang dibangkitkan PDRM pada perbincangan itu adalah sama ada IPCMC mempunyai kuasa untuk membuat pendakwaan.

“Sebenarnya, IPCMC tidak lebih daripada peranannya sebagai pihak berkuasa tatatertib. Ia tiada kuasa mendakwa kes jenayah atau kes lain selain daripada tatatertib.

“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM (JIPS) masih berperanan untuk menjalankan siasatan dan tidak mengurangkan peranan mereka.

“Kita bukan ambil-alih peranan polis yang dimainkan JIPS. Bagaimanapun, peranan IPCMC boleh menjalankan siasatan adalah perkara yang ada bersama, bermakna polis menjalankan siasatan dan jika ada aduan kepada IPCMC, maka IPCMC boleh menjalankan siasatan,” katanya.

Abu Kassim berkata, kertas Kabinet berhubung penubuhan IPCMC dijangka dapat dikemukakan selepas Aidilfitri.

Katanya, perubahan kepada draf Rang Undang-Undang Penubuhan suruhanjaya itu akan turut dibuat selepas mendapat maklum balas akhir daripada PDRM.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, pihaknya berpuas hati dengan perbincangan hari ini dan semua wakil PDRM yang hadir diberikan peluang untuk menyampaikan pandangan mereka serta diberikan pemahaman yang jelas oleh Abu Kassim.

“Kekhuatiran itu sebenarnya jauh meleset sebaliknya IPCMC memberi banyak peluang dan ruang kepada PDRM dan tidak sekali-kali menghakis kuasa PDRM,” katanya.

Abdul Hamid berkata, PDRM akan bertemu lagi dengan GIACC minggu depan bagi memuktamadkan hasil perbincangan hari ini.

“Menerusi IPCMC, integriti dapat terus dijadikan keutamaan dalam perjalanan pengurusan dan tanggungjawab polis, serta akan menjadi lebih mantap,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memberi jaminan pandangan pelbagai pihak akan diambil kira dalam usaha menubuhkan IPCMC.

4720 dibaca
Berita Harian X