Isnin, 6 Mei 2019 | 8:22pm

Gobind ucap takziah kepada keluarga Syed Jamil

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pengurus besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Syed Jamil Syed Jaafar, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), awal pagi ini.

“Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada bidang kewartawanan kita. Sumbangan dan jasa beliau akan menjadi pedoman kepada semua yang terlibat dalam kewartawanan,” katanya menerusi laman Twitter dan Facebook, hari ini.

Beliau juga berharap semoga isteri Allahyarham, Datin Haryani Abdul Hamid dan kesemua ahli keluarganya terus tabah dan dipermudahkan segala urusan.

“Saya difahamkan bahawa Allahyarham telah mula berkhidmat sebagai wartawan kadet di Bernama pada 16 Disember 1969 dan menjadi Ketua Pengarang pada 1995, seterusnya berkhidmat sebagai Pengurus Besar dari 23 Oktober 2000 sehingga beliau telah bersara pada tahun 2007.

“Beliau juga pernah menjadi penasihat kepada anak syarikat BERNAMA iaitu Systems and Solutions Advisor Sdn Bhd, yang berkemahiran dalam bidang IT,” katanya.

Gobind juga berkata Syed Jamil telah banyak memberi sumbangan kepada agensi itu dan industri media sepaNjang perkhidmatan dan hayat beliau.

Syed Jamil, 68, yang berasal dari Kedah dan anak sulung daripada 10 adik beradik, pernah dilantik sebagai Penasihat bagi BERNAMA Systems and Solutions Advisor Sdn Bhd (Bessar), anak syarikat agensi berita nasional itu yang berkemahiran dalam bidang Teknologi Maklumat (IT). – BERNAMA

Berita Harian X