Isnin, 6 Mei 2019 | 6:52pm
Dr Mahathir berkata, kerajaan sehingga kini belum menerima sebarang cadangan khusus dan komprehensif bagi pelan pemulihan Malaysia Airlines. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Belum ada keputusan masa depan Malaysia Airlines - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan belum membuat keputusan berhubung masa depan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) yang mengalami kerugian sejak beberapa tahun lalu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk sama ada kerajaan akan merangka pelan pemulihan baharu atau menutup operasi syarikat penerbangan terbabit.

“Kita belum membuat keputusan,” katanya pada sidang media khas sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan sehingga kini belum menerima sebarang cadangan khusus dan komprehensif bagi pelan pemulihan syarikat penerbangan itu, walaupun menerima banyak pandangan daripada pelbagai pihak yang berkaitan.

“Kita ada masalah dengan Malaysia Airlines dan saya fikir kerugian begitu banyak akibat pengurusan yang teruk sehingga sukar untuk memulihkannya.

“Kerajaan lama beri RM6 billion kepada Malaysia Airlines dan selepas itu mereka pecat 6,000 pekerja...saya tak tahu apa yang berlaku.

“Ada pelbagai pihak yang kata kita kena buat macam ini, macam itu (untuk menyelamatkan Malaysia Airlines), tetapi tiada sesiapa datang beri cadangan penyelesaian yang khusus,” katanya.

Perdana Menteri berkata, banyak syarikat penerbangan di dunia hari ini berdepan kesukaran dan terpaksa dijual kepada pihak lain berikutan persaingan dalam industri itu yang semakin hebat, khususnya dengan kewujudan syarikat penerbangan tambang murah.

“Syarikat penerbangan dari Arab pula menyediakan perkhidmatan mewah, syarikat penerbangan lain tak mampu tandingi...ini perniagaan yang sukar,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, susut nilai Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) berjumlah RM7.3 bilion yang direkodkan tahun lalu, sebahagian besarnya disumbangkan oleh Malaysia Airlines.

Jumlah susut nilai pada 2018 adalah tiga kali ganda melebihi susut nilai sebanyak RM2.3 bilion pada 2017.

Berita Harian X