Isnin, 6 Mei 2019 | 4:53pm
Haryani kelihatan tenang ketika menabur bunga di atas pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, hari ini. - Foto BERNAMA

Jenazah Syed Jamil selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Syed Jamil Syed Jaafar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Batu Caves di sini petang ini.

Jenazah dikebumikan bersebelahan kubur pendakwah terkenal Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz pada jam 2.30 petang. Talkin dibacakan oleh Imam Khairul Salleh Ishak.

Sebelum itu jenazah disembahyangkan di Madrasah Tarbiyah, Batu 4¼ Gombak.

Kira-kira 100 orang terdiri daripada anggota keluarga, kenalan Allahyarham dan warga BERNAMA hadir pada majlis pengurusan jenazah. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nurini Kassim.

Balu Allahyarham, Datin Haryani Abdul Hamid, berkata arwah suaminya dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) tiga hari lalu selepas mengalami demam dan serangan jantung.

“Beliau telah stabil dan dimasukkan ke wad biasa namun jangkitan pada buah pinggang semakin teruk dan kembali diserang sakit jantung sehingga menjadi lemah dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 pagi tadi.

“Arwah merupakan insan terpilih kerana ‘pergi’ sebelum waktu Subuh pada awal Ramadan,” katanya ketika ditemui pemberita di Madrasah Tarbiyah.

Menceritakan perwatakan Allahyarham, Haryani berkata arwah suaminya itu merupakan seorang yang berdedikasi dan mementingkan tanggungjawab terutama dalam tugas.

Allahyarham Syed Jamil sering berpesan supaya tidak mengabaikan setiap tanggungjawab yang diamanahkan kepada setiap orang di sekelilingnya.

Syed Jamil, 68, mula berkhidmat sebagai wartawan kadet di BERNAMA pada 16 Disember 1969 dan menjadi Ketua Pengarang pada 1995 seterusnya dilantik sebagai Pengurus Besar mulai 23 Oktober 2000 sebelum bersara pada 2007.

Syed Jamil yang berasal dari Kedah dan anak sulung daripada 10 adik beradik pernah dilantik sebagai Penasihat bagi Bernama Systems and Solutions Advisor Sdn Bhd (Bessar), anak syarikat agensi berita nasional itu yang berkemahiran dalam bidang Teknologi Maklumat (IT).

Sementara itu, bekas Pengerusi BERNAMA, Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman, berkata Allahyarham Syed Jamil yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik sering dijadikan rujukan dalam kalangan penyunting semasa berkhidmat di agensi berita itu.

“Arwah seorang wartawan yang baik dan kami sama-sama mengembangkan kerjaya sehingga saya dilantik sebagai Ketua Pengarang dan beliau menjadi timbalan… apabila saya memasuki bidang politik, arwah mengambil alih jawatan saya dan kemudian dilantik sebagai pengurus besar,” katanya. – BERNAMA

1249 dibaca
Berita Harian X