Isnin, 6 Mei 2019 | 1:27pm

KWAP bayar dulu kepada SRC, surat jaminan kemudian

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mengeluarkan pinjaman tambahan berjumlah RM2 bilion kepada syarikat SRC International Sdn Bhd sebelum Kementerian Kewangan mengemukakan surat jaminan kepada agensi dana pencen itu.

Bekas Penolong Naib Presiden KWAP, Bahagian Pendapatan Tetap, Amirul Imran Ahmat, berkata surat jaminan daripada kementerian bertarikh 27 Mac 2012 itu bagi menyatakan persetujuan kerajaan untuk memberikan jaminan kepada SRC memberi pinjaman tambahan berkenaan, yang diterima KWAP pada 28 Mac 2012.

Saksi ke-29 pendakwaan yang membacakan pernyataan saksi berkata, surat itu turut memohon KWAP untuk menimbangkan supaya pengeluaran wang itu dapat dilakukan terlebih dulu dan Kementerian Kewangan memberikan aku janji untuk menyerahkan Jaminan Kerajaan selewat-lewatnya dalam masa 10 hari.

Amirul Imran berkata, pada hari sama (28 Mac 2012), beliau dimaklumkan oleh Amirah Muhamad Nor daripada Invetment Support Services Department (ISSD), wang berkenaan sudah dimasukkan ke dalam akaun SRC.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff, kemudian bertanyakan saksi sama ada ia menjadi kebiasaan bagi pinjaman dikeluarkan terlebih dulu sebelum surat jaminan dikeluarkan.

Menjawab soalan itu, saksi menjawab, “Tidak pernah berlaku, ini kali pertama.”

ISHAK: Beritahu mahkamah, apa surat jaminan itu?

SAKSI: Surat Kementerian Kewangan itu bertujuan untuk menyatakan persetujuan Kerajaan Malaysia untuk KWAP keluarkan duit dahulu, dan surat jaminan akan datang kemudian.

ISHAK: Ada tak orang pinjam duit dulu, surat jaminan datang kemudian?

SAKSI: Tak pernah berlaku. Ini kali pertama.

Amirul Imran berkata, KWAP meluluskan pinjaman tambahan itu melalui keputusan Mesyuarat Panel Pelaburan selepas Kertas Panel Pelaburan dibentangkan ketuanya Allahyarham Ahmad Norhisham Hassan pada 20 Mac 2012.

Beliau berkata, pinjaman tambahan itu diluluskan dengan syarat sama seperti pinjaman pertama juga berjumlah RM2 bilion, iaitu ia memerlukan jaminan daripada Kerajaan Malaysia.

Katanya, surat Jaminan Kerajaan itu ditandatangani oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Pada prosiding minggu lalu, saksi itu memberitahu Mahkamah Tinggi, KWAP meluluskan pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada SRC pada Julai 2011 dengan syarat ia dijamin kerajaan atau pinjaman diberikan kepada kerajaan sebagai peminjam yang kemudian memberikan pinjaman kepada 1MDB.

1157 dibaca
AMIRUL Imran hadir ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 bagi perbicaraan kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkenaan SRC International di Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X