Isnin, 6 Mei 2019 | 8:47am
DATUK Syed Jamil Syed Jaafar.

Bekas Pengurus Besar Bernama meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Syed Jamil Syed Jaafar, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), awal pagi tadi.

Isteri Allahyarham, Datin Haryani Abdul Hamid, ketika dihubungi Bernama, pagi ini, berkata Syed Jamil, 68, meninggal dunia pada jam 4 pagi.

“Jenazah sudah dibawa ke rumah ibu saya di Sentul sebelum dibawa ke Madrasah Tarbiyah, Gombak, untuk dimandi dan disembahyangkan,” katanya.

Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat zohor di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Gombak.

Syed Jamil mula berkhidmat sebagai wartawan kadet di Bernama pada 16 Disember 1969 dan menjadi Ketua Pengarang pada 1995, seterusnya dilantik sebagai Pengurus Besar mulai 23 Oktober 2000 sebelum bersara pada 2007.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Penasihat Bernama Systems And Solutions Advisor Sdn Bhd (Bessar), anak syarikat agensi berita nasional itu yang berkemahiran dalam bidang teknologi maklumat (IT). – BERNAMA

1050 dibaca
Berita Harian X