Ahad, 5 Mei 2019 | 4:04pm
Guan Eng menyampaikan Ucapan Dasar pada Persidangan DAP 2019 di Shah Alam. - NSTP/Saddam Yusoff

IPCMC bukan untuk kenakan pihak tertentu

SHAH ALAM: Cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bukan bertujuan untuk mengenakan atau menentang mana-mana pihak.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berkata cadangan penubuhan suruhanjaya itu adalah untuk memastikan tidak berlaku sebarang salah guna kuasa oleh segelintir anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ia adalah untuk memastikan kalau berlaku salah guna kuasa dalam kalangan anggota polis, tindakan boleh diambil. Itu saja. Jika polis jalankan tugas mengikut kuasa sedia ada, tiada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Setiausaha Agung pada Persidangan DAP 2019, di sini, hari ini.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan turut memuji Ketua Polis Negara baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, kerana menyokong cadangan penubuhan IPCMC.

Sebagai sebuah badan bebas, IPCMC bakal menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan berperanan menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku polis.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata IPCMC bebas untuk melakukan siasatan terhadap pasukan keselamatan itu dan kerajaan tidak akan campur tangan bagi menangani sebarang aduan mengenai polis.

Susulan itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, dilaporkan berkata PDRM akan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhannya.

Mohamad Fuzi berkata, perkara yang diusulkan bagi penubuhan IPCMC, terutama menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada pelbagai pihak dalam PDRM.

Berita Harian X