Sabtu, 4 Mei 2019 | 6:50pm
Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah (tengah) merasmikan majlis perasmian Innovation and Technology Exhibition (ITEX) di KLCC. Turut sama, Presiden Malaysian Invention and Design Society (MINDS) Tan Sri Augustine SH Ong (kanan). - Foto Muhd Zaaba Zakeria

ILJTM rangkul 7 Emas di ITEX

KUALA LUMPUR: Tujuh ciptaan penuntut Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) mendapat pengiktirafan apabila merangkul pingat emas pada Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) ke-30.

Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 10 projek inovasi berimpak tinggi dikemukakan pihaknya membabitkan lapan ILJTM pada pertandingan yang dianjurkan Malaysia Invention and Design Society (MINDS) itu.

Katanya, menerusi projek berkenaan, JTM merangkul 10 pingat iaitu tujuh pingat Emas dan tiga pingat Perak.

“ADTEC (Pusat Latihan Teknologi Tinggi) Kulim, ADTEC Batu Pahat, ILP Perai, ADTEC Jerantut, ADTEC Taiping dan Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI), Pulau Pinang masing-masing merangkul pingat emas menerusi ciptaan yang dipertandingkan mengikut kategori.

“Tiga yang lain yang memperoleh pingat perak adalah ADTEC Taiping, ILP Kangar dan ILP Jitra,” kata kenyataan itu.

JTM berkata, sebanyak 565 projek reka cipta dan reka bentuk dari 15 kategori dipertandingkan dengan penyertaan pereka dari kalangan penyelidik universiti awam dan swasta, syarikat korporat, agensi kerajaan serta individu persendirian.

“Pertandingan ini turut membabitkan penyertaan dari peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

JTM berkata, melalui Memorandun Perjanjian (MoA) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditandatangani baru-baru ini, dijangka dapat memasarkan dan mengkomersialkan produk inovasi ILJTM.

“Kejayaan ini perlu dimanfaatkan untuk kegunaan masyarakat dan industri supaya produk inovasi yang dihasilkan tidak disia-siakan semata-mata untuk pertandingan kemahiran sahaja,” katanya.

390 dibaca
Berita Harian X