Khamis, 2 Mei 2019 | 6:08pm

Kerajaan bekerjasama dengan industri untuk perkasa TVET

BUTTERWORTH: Kerajaan akan bekerjasama dengan pemain industri berkaitan bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membantu belia yang melanjutkan pengajian di Institut Latihan Industri (ILP) di seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata ia bagi memastikan tahap pendidikan ditawarkan di ILP di seluruh negara memenuhi keperluan terkini pemain industri, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan lebih banyak kepada golongan itu.

“Kita mahu tukar cara daripada semua keputusan pengajian dibuat oleh institusi kepada berasaskan keperluan industri. Kerajaan akan lebih bekerjasama dengan industri bagi menjayakannya.

“Ini kerana, pemain industri lebih tahu apa diperlukan mereka, sekali gus mampu menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia. Malah, penuntut juga boleh ditawarkan pekerjaan serta-merta selepas tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini. Terdahulu, beliau menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Tenaga Manusia dan Yayasan Jasa Ann-Joo di Pejabat Ann Joo Steel Bhd, di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Sumber Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Ann Joo, Datuk Lawrence Lim Aun Chuan.

Beliau berkata, TVET adalah antara perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Kabinet, semalam, dengan kerajaan disarankan untuk meneliti keseluruhan struktur bidang pengajian berkenaan, khususnya keberkesanan menghasilkan pembabitan orang ramai.

“Saranan ini sudah dibuat sejak Jun tahun lalu. Kerajaan membelanjakan lebih RM4 bilion setahun (bagi TVET) tetapi hasilnya masih kurang memuaskan. Kini kita hanya ada 28 peratus pekerja TVET dan sasaran bagi tahun depan adalah sebanyak 35 peratus.

“Bagaimanapun, kita mahukan lebih banyak dan sedang berusaha ke arah itu. TVET seharusnya menjadi pilihan pertama dan bukan lagi pengajian berasaskan akademik kerana bidang ini mampu memberi peluang pekerjaan segera kepada orang ramai.

“Malah, gaji bagi pekerja bidang TVET adalah lebih besar dan mampu mencapai lebih RM30,000 sebulan, bergantung kepada kemahiran tertentu. Bagaimanapun, tiada keputusan dimuktamadkan dalam mesyuarat semalam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk menutup ILP Pasir Gudang, Johor Bharu walaupun institusi itu merekodkan kerugian 100 peratus kerana perhatian teralih ke Singapura.

“Kita tidak boleh tutup ILP Pasir Gudang kerana mahu memberi pendidikan kepada rakyat. Bagaimanapun, perlu cari kaedah lebih baik untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Kita sepatutnya memperbesar dan mempelbagaikan lagi pengajian dan peluang pekerjaan di situ bagi mengelak daripada faktor migrasi dalam kalangan tenaga pekerja kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan lebih mesra dalam meningkatkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kalangan pemandu teksi serta Grab.

“Undang-undang ini sudah diperkenal lima tahun lalu dan ia adalah mandatori kepada semua. Bagaimanapun, kita menerima banyak maklum balas negatif mengenainya daripada pemandu teksi dan Grab.

“Justeru, kita akan buat siri jelajah untuk terangkan kebaikan mencarum di KWSP dan PERKESO dalam kalangan pemandu teksi dan Grab kerana kerja mereka terdedah kepada bahaya ekoran berada di atas jalan raya sepanjang masa, sekali gus mengelak perkara tak diingini daripada berlaku,” katanya.

99 dibaca
M Kulasegaran (dua kiri) melancarkan Majlis Pelancaran Program Takaful Kemalangan Diri CUEPACS PA-Raya pada sambutan Hari Pekerja CUEPACS 2019, di Stadium Indera Mulia. - Foto Balqis Jazimah Zahari
Berita Harian X