Khamis, 2 Mei 2019 | 3:07pm
MENTERI Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin pada sidang media sempena setahun Pakatan Harapan memerintah di MESTECC. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

Dua tahun untuk pengarah baharu JAS Johor tingkat penguatkuasaan

PUTRAJAYA: Pengarah baharu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor akan diumumkan dalam beberapa minggu lagi, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Bee Yin berkata, pengarah baharu itu dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan tahap penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai di Johor, khususnya di sekitar kawasan perindustrian Pasir Gudang.

Beliau berkata, jawatan itu bakal diisi pegawai terbaik kementeriannya, yang diberi tempoh dua tahun untuk meningkatkan 100 peratus jumlah denda serta kes yang di bawa ke mahkamah.

Katanya, langkah itu adalah tindak balas kementerian untuk menyelesaikan isu 20 sungai di Johor yang tercemar dan dikategorikan antara Kelas Tiga hingga Kelas Lima, selain memastikan tragedi pencemaran kimia Sungai Kim Kim di Pasir Gudang tidak berulang.

“Daripada 32 sungai tercemar seluruh negara (Kelas Tiga hingga Kelas Lima), 20 adalah di Johor.

“Jadi kita telah melantik pengarah JAS Johor yang baharu, yang saya bagi amanah meningkatkan penguatkuasaan bagi pencemaran sungai, terutamanya di kawasan perindustrian Pasir Gudang.

“Kita bukan saja nak kawal pengeluaran bahan terlarang daripada kilang berlesen, tetapi juga kilang haram. Oleh itu saya melantik pegawai terbaik di ibu pejabat sebagai Pengarah JAS Johor yang baharu,” katanya pada sidang media sempena 100 Hari Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan BH Ahad lalu, mengenai 20 sungai mengalami pencemaran Kelas Tiga sejak 2017, dan ketiadaan usaha memulihkannya bakal mengulangi tragedi Sungai Kim Kim.

Sebelum ini, media melaporkan Pengarah JAS Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, diarah bertukar ke Putrajaya sebagai Ketua Unit Pengurusan Sisa Toksik dan Pembuangan Berjadual Kebangsaan, berkuat kuasa 1 April lalu.

Bee Yin berkata, perincian berhubung pertukaran itu, termasuk alasan ia dilakukan akan dimaklumkan pada sidang media berasingan.

Ditanya mengenai langkah membersihkan semua sungai tercemar itu, Bee Yin berkata, pembersihan sungai berada di bawah tanggungjawab Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

487 dibaca
Berita Harian X