Khamis, 2 Mei 2019 | 2:24pm
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - NSTP/Muhaizan Yahya

PDRM akan jumpa PM bantah IPCMC

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyampaikan bantahan berhubung usul Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) diberi kuasa mengambil tindakan tatatertib terhadap salah laku anggota polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sudah menulis satu surat berhubung perkara sama kepada kepemimpinan kerajaan bagi menyampaikan bantahan yang mewakili warga PDRM di seluruh negara termasuk pesara polis.

“Perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat tergempar yang diadakan baru-baru ini, ekoran beberapa keputusan yang pada asalnya kami (PDRM) persetujui namun kebelakangan ini wujud banyak tentangan berhubung pelaksanaan IPCMC.

“Tentangan itu disuarakan banyak pihak dalam PDRM termasuk lebih 153,000 pesara polis berhubung beberapa perkara yang diusulkan oleh jawatankuasa yang terbabit (dalam IPCMC).

“Ini terutamanya berkaitan usaha menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Artikel 140 Perlembagaan Persekutuan berhubung isu-isu berkaitan siasatan dan tindakan tatatertib yang mahu diambil alih oleh IPCMC,” katanya pada sidang media program Jualan Buku Mes PDRM Pada Era 100 Tahun di Bukit Aman di sini, hari ini.

Artikel 140 Perlembagaan Persekutuan menggariskan SPP yang dianggotai Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab terhadap pelantikan naik pangkat dan isu tatatertib.

Mohamad Fuzi berkata menerusi satu mesyuarat yang diadakan beberapa hari lalu, pihaknya memutuskan untuk mengatur satu pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menyatakan bantahan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini memaklumkan walaupun pihak kerajaan bersetuju untuk memperkasakan IPCMC, namun perkara itu masih memerlukan pemahaman yang lebih mendalam.

Katanya, perkara itu memerlukan proses maklum balas PDRM dan agensi penguat kuasa yang lain bagi membolehkan ia dapat diterima baik oleh semua pihak.

Penubuhan IPCMC adalah selaras Janji 20 yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi menangani isu integriti dan menyiasat salah laku dalam kalangan anggota PDRM menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

3329 dibaca
Berita Harian X