Rabu, 1 Mei 2019 | 3:14pm
KETUA Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi. - Foto Rasul Azli Samad

PLUS komited patuhi SOP pasang penghadang jalan

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) komited mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditentukan pihak berkuasa bagi pemasangan penghadang jalan yang mengikut spesifikasi dan garis panduan ditetapkan.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata penghadang jalan akan berfungsi dengan baik sekiranya syarat tahap ujian dipenuhi, memandangkan setiap jenis penghadang jalan ada kriteria tahap ujian tertentu.

“Kriteria itu termasuk berat kenderaan, sudut perlanggaran dan had laju ujian.

“Jika kenderaan yang mengalami kemalangan melepasi kriteria atau syarat tahap ujian, penghadang jalan itu tidak akan berfungsi mengikut kategori tahap ujian setiap penghadang jalan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Siti Zaharah Ishak, sebagai berkata pemasangan terminal penghadang jalan yang tidak mengikut spesifikasi dan piawaian dikenal pasti antara punca ia membahayakan pengguna, termasuk dari jenis bull nose dan W-beam Guardrail.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata penghadang jalan separa tegar jenis W-Beam Guardrail memang dipasang di lokasi tertentu di lebuh raya PLUS.

“Selain jenis W-Beam Guardrail, PLUS juga memasang penghadang jalan tegar jenis Concrete Barrier di lebuh raya kami.

“Pemasangan penghadang jalan ini adalah tertakluk kepada syarat keperluan pemasangan penghadang jalan seperti dalam Garis Panduan REAM (REAM- GL 9/2006; Guidelines on Design and Selection of Longitudinal Traffic Safety Barrier),” katanya.

Beliau berkata, kajian pihaknya mendapati kebanyakan punca kematian akibat kemalangan, tidak hanya disebabkan oleh penghadang jalan.

“Berdasarkan statistik kemalangan di lebuh raya PLUS, kami mendapati bahawa faktor kemanusiaan adalah punca utama kemalangan seperti memandu melebihi had laju, hilang kawalan atau memandu dalam keadaan mengantuk,” katanya.

Zakaria juga berkata, PLUS sebelum ini memperoleh pengiktirafan tiga bintang bagi Lebuh Raya Utara-Selatan bawah Program Kecemerlangan Pemanduan Penilaian Jalan Raya (iRAP) kelolaan MIROS.

Selain itu, beliau berkata PLUS mengambil pendekatan 3E, iaitu kejuruteraan, penguatkuasaan dan pendidikan, dalam meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya kendaliannya.

Katanya, aspek kejuruteraan membabitkan penggunaan kejuruteraan dan teknologi seperti penggunaan turapan jalan yang terbaik serta peralatan keselamatan.

“Aspek penguatkuasaan pula meliputi kerjasama dengan agensi seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya, termasuk operasi bersepadu serta pemeriksaan keselamatan.

“Aspek pendidikan membabitkan program pendidikan keselamatan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pelanggan lebuh raya,” katanya.

Terbaru, beliau berkata, PLUS menerbitkan siri video pendidikan pemanduan selamat, #HeroSelamat untuk memberi pendedahan kepada orang ramai dengan kerjasama Miros, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), polis dan JPJ.

470 dibaca
Berita Harian X