Selasa, 30 April 2019 | 12:40pm
MENTERI Sumber Manusia, M Kulasegaran. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Raih gaji lebih tinggi, pekerja perlu terlatih dan mahir

SINGAPURA: Pekerja Malaysia perlu menghadiri kursus latihan kemahiran bersesuaian bagi membolehkan mereka mendapat bayaran gaji 20 peratus lebih tinggi, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Beliau berkata, mana-mana rakyat Malaysia yang boleh membaca dan menulis layak menyertai kursus latihan kemahiran di mana-mana institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Katanya, kebanyakan institut TVET ini mengajar kemahiran asas tanpa memerlukan kertas akademik (kelulusan).

“Hanya 28 peratus jumlah tenaga kerja di Malaysia ketika ini yang berkemahiran berbanding negara lain seperti Singapura yang peratusannya mungkin sehingga setinggi 50 peratus.

“Ia langsung tidak memberi prospek yang baik. Jadi, kita berusaha menumpukan 70 peratus bagi latihan dan 30 peratus kursus kerja kepada mereka.

“Tidak ada negara boleh dibangunkan atau dimajukan, melainkan sebahagian besar pekerjanya berkemahiran. Ini cabaran besar yang kita hadapi dan berharap kita boleh melakukannya dari semasa ke semasa,” katanya pada sesi pertemuan dengan diaspora Malaysia, di sini.

Beliau berada di sini mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Sesi Khas Persidangan Menteri-Menteri Buruh ASEAN dan Singapura mengenai Masa Depan Pekerjaan.

Menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) yang akan berakhir tahun depan, sasaran ditetapkan adalah untuk mendapatkan 35 peratus daripada tenaga kerja berkemahiran.

Kulasegaran berkata, terdapat beberapa cabaran dihadapi kementeriannya termasuk sesetengah majikan enggan menghantar pekerja mendapatkan latihan bagi meningkatkan kemahiran mereka, sama ada kerana bimbang kehilangan pekerja atau mereka tidak bersedia memberikan cuti tanpa rekod.

Beliau berkata, bagi pihak pekerja pula, mereka tidak menyedari mengapa perlu meningkatkan kemahiran dalam kerjaya.

“Kini kita akan memberikan insentif khas kepada mereka yang mahu mendapatkan kemahiran. Jadi kita berharap dapat mentransformasikan keseluruhan proses ini.

“Kita mungkin tidak mencapai angka 35 peratus itu, tetapi pasti akan mencapainya satu masa nanti. Sekarang saya berusaha mempercepatkan keseluruhan isu dan memberi keutamaan kepadanya,” katanya. BERNAMA

Berita Harian X