Isnin, 29 April 2019 | 8:35pm
MUHYIDDIN Yassin.

Lahir di Malaysia tak dapat kewarganegaraan automatik

KUALA LUMPUR: Kelahiran di Malaysia tidak membolehkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penyelesaian isu kanak-kanak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di Sabah perlu memenuhi syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ia selaras peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964, taraf kewarganegaraan seseorang individu ditentukan berdasarkan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung dan status perkahwinan yang sah mengikut undang-undang yang berkuat kuasa ketika kelahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, berhubung tindakan kementerian ke atas dakwaan ada 500,000 penduduk di Sabah yang tidak memiliki kewarganegaraan, kerajaan menggiatkan tindakan penguatkuasaan serta pengusiran ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Katanya, seramai 581,085 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah diusir dari negara ini yang dilaksanakan bermula dari 1990 sehingga 18 April lalu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata mengenai permohonan kewarganegaraan suami warganegara asing kepada isteri warganegara Malaysia, setiap permohonan diterima kementeriannya akan diproses dengan teliti.

Katanya, proses itu untuk memastikan setiap permohonan memenuhi syarat dan peruntukan ditetapkan dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964 dan perundangan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, permohonan kewarganegaraan oleh suami bertaraf bukan warganegara kepada isteri bertaraf warganegara Malaysia adalah melalui naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, pertimbangan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan adalah berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

“SOP itu diperincikan daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 iaitu memenuhi tempoh pemastautinan yang dikira daripada pegangan kad pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) selama 12 tahun,” katanya.

Mengenai penganugerahan kewarganegaraan kepada pemegang MyPR berumur 60 tahun dan ke atas, Muhyiddin berkata, kementerian melaksanakan tindakan segera terhadap semua permohonan kewarganegaraan tanpa mengira kaum secara berperingkat dan akan diproses dengan teliti.

Katanya, kementerian tidak bercadang memperkenalkan kad pengenalan baharu bagi kanak-kanak yang lahir di Malaysia hasil perkahwinan campur.

Mengulas tindakan terhadap penularan kes penghinaan kepada institusi beraja dan agama Islam di media sosial, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat 98 kes dan daripada jumlah itu, sembilan individu dituduh di mahkamah sejak 2012 hingga 20 April lalu.

“Bagi penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad dalam tempoh sama, sebanyak 76 kes disiasat dan daripada jumlah itu 12 individu telah dituduh di mahkamah,” katanya. – BERNAMA

4136 dibaca
Berita Harian X