Isnin, 29 April 2019 | 7:03pm
ANWAR Ibrahim (tengah) semasa sidang media selepas hadir program Sembang Santai dan Minum Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di De Pauh Garden, Permatang Pauh, Seberang Jaya, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Manifesto PH boleh ditunaikan - Anwar

PERMATANG PAUH: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pihaknya optimis Pakatan Harapan (PH) mampu menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, ia susulan keseluruhan janji berkenaan adalah berkait rapat dengan kedudukan ekonomi dan kadar pengeluaran negara yang perlu berada pada tahap cekap.

“Ada beberapa kawasan yang kita sudah berjaya turunkan harga (barang) tetapi saya setuju dengan desakan rakyat (mengenai janji manifesto) kerana banyak berjanji kepada mereka.

“Bagaimanapun, semua ini (janji dalam manifesto) tidak boleh dilaksanakan dengan segera, sebaliknya ia boleh ditunaikan dalam tempoh satu atau dua tahun dan saya optimis kita mampu mencapainya.

“Kos sara hidup ini akan menjadi perkara kedua jika kita berjaya menaikkan kembali kedudukan ekonomi negara serta kadar pendapatan,” katanya ketika ditemui pada Program Sembang Santai bersama Presiden PKR di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; EXCO Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin dan Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Fahmi Zainol.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Umum PH berkata saingan hasil pakatan antara UMNO dan PAS boleh diatasi dengan kebolehan dan kecekapan dalam prestasi serta pencapaian PH.

“Rakyat akan mengadili kapasiti dan tahap pencapaian kita. PAS dan UMNO masing-masing juga ada tahap pencapaian di negeri ditadbir kedua-dua parti ini. Kita sudah diberikan mandat dan masih ada masa untuk berkhidmat.

“Saya akui harapan rakyat sangat tinggi dan kita boleh terima, selain mereka berharap kerajaan untuk segera membuahkan hasil dan ini semestinya peringatan kepada kita semua,” katanya.

Mengulas polemik antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar berkata, jawatan disandang Ahli Parlimen Langkawi adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ia adalah tanggungjawab kita untuk menasihati pihak istana untuk menghormati mandat diberikan rakyat. Bagaimanapun, pandangan saya adalah lebih baik kita fokus kepada ekonomi negara,” katanya.

Berita Harian X