Isnin, 29 April 2019 | 5:59pm
MENTERI Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar pada sidang media pencapaian prestasi kementeriannya sempena setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Bina rumah tepi sungai tidak digalakkan

PUTRAJAYA: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menyarankan tiada lagi rumah atau premis dibenarkan dibina di tepi sungai bagi mengelak pencemaran yang boleh menjejaskan sumber air negara.

Menterinya, Dr Xavier Jayakumar, berkata ia juga bagi mengelak tragedi rumah dihanyutkan arus deras selepas hujan lebat atau pelepasan air empangan yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa serta kemusnahan harta benda.

Katanya, kerajaan menetapkan rizab sungai pada jarak 50 meter dan ia seharusnya menjadi panduan bagi semua pihak berkaitan dalam melaksanakan pembangunan, khususnya pembinaan rumah dan premis di tepi sungai.

“Saya tak setuju bina rumah tepi sungai sebab kita ada pengalaman bila hujan lebat, air penuh di empangan dan perlu dilepaskan, selepas itu berlaku masalah besar (bahaya kepada rumah di tepi sungai).

“Contohnya tragedi di Cameron Highlands (beberapa tahun lalu) rumah tepi sungai musnah bila air empangan dilepaskan sebaik berada pada paras bahaya.

“Kalau nak juga bina (rumah tepi sungai), kita perlu mengenakan syarat tertentu, tapi kalau boleh jangan bina tepi sungai,” katanya pada sidang media pencapaian prestasi kementeriannya sempena setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan eksklusif BH semalam bertajuk ‘Sumber air negara terancam’ yang menyatakan tiada tindakan diambil bagi menyelamat dan memulihkan sungai tercemar.

Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr Zaki Zainuddin, dilaporkan berkata, ketiadaan usaha menyelamat dan memulihkan lebih 20 sungai yang mengalami pencemaran Kelas Tiga sejak 2017, bakal mengulangi tragedi Sungai Kim Kim, Johor, pada bila-bila masa, seterusnya mengganggu sumber air negara.

Susulan itu, timbul saranan daripada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim yang menggesa kerajaan mewajibkan semua pembinaan bangunan atau perumahan baharu menghadap kawasan sungai dalam usaha memastikan sumber air itu dan persekitarannya bersih tanpa pencemaran.

Dr Xavier berkata, kementerian memandang serius isu membabitkan pengurusan sumber air negara terutama sungai yang bekalan utama sumber bekalan air terawat.

“Berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2017, sebanyak 32 sungai diklasifikasikan tercemar daripada 417 sungai yang dipantau JAS di seluruh negara.

“Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan pendekatan berbentuk struktur seperti membina Infrastruktur rawatan kualiti air sungai dan memasang perangkap sampah di beberapa lokasi sungai utama.

“Kita juga melaksanakan strategi Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi mencapai empat objektif utama iaitu memastikan air mencukupi, air bersih, mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Bagi mencapai objektif itu, katanya, JPS menyediakan Pelan IRBM yang boleh dijadikan rujukan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain dalam merancang pembangunan dan guna tanah di kawasan lembangan yang bakal memberi kesan kepada sungai.

“Bagi memulihkan sungai tercemar, kawalan dan penguatkuasaan di peringkat punca amat penting. Oleh kerana isu tanah dan sumber air termasuk sungai adalah bidang kuasa kerajaan negeri, maka kawalan dan penguatkuasaan turut di bawah kuasa mereka.

“Setiap negeri mempunyai perundangan berkaitan sumber air yang tersendiri termasuk hal berkaitan larangan pencemaran di kawasan sumber air. Kerjasama kerajaan negeri dalam menguatkuasakan undang-undang atau enakmen negeri amat penting.

“Dalam hal ini, kementerian saya dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi meningkatkan usaha dan pemantauan untuk terus melindungi sungai,” katanya.

Berita Harian X