Ahad, 28 April 2019 | 2:11pm
FOTO hiasan.

Cadangan wajibkan suntikan vaksin dijangka dibentangkan kepada Kabinet 8 Mei

BANGI: Kertas cadangan untuk mewajibkan bayi dan kanak-kanak mendapat suntikan vaksin dijangka dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, 8 Mei depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian sedang meneliti kebolehlaksanaan tindakan mewajibkan imunisasi terhadap bayi dan kanak-kanak di negara ini, dengan mengambil kira sasaran umur yang sesuai serta jenis vaksin perlu diambil.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan pada peringkat Jawatankuasa Kerja dan kementerian bagi membolehkan cadangan berkenaan dilaksanakan secepat mungkin apabila diluluskan Kabinet nanti.

“Semua itu ada dalam kertas cadangan dan pelan kami yang bakal dibentangkan kepada Kabinet nanti, dan mewajibkan vaksin berkenaan adalah satu opsyen.

“Apa yang penting ialah akhirnya dapat melindungi anak kita daripada jangkitan 12 penyakit yang boleh membawa maut.

“Langkah itu dapat memastikan sekurang-kurangnya antara 90 hingga 95 peratus bayi dan kanak-kanak di Malaysia mendapat suntikan vaksin kerana majoriti mangsa yang meninggal dunia adalah kerana tidak memperoleh vaksinasi.

“Kegagalan berbuat demikian bukan hanya membahayakan nyawa anak terbabit tetapi juga individu lain, terutama bayi berusia kurang dua bulan yang tidak boleh diberikan suntikan vaksin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan 2019 di Taman Tasik Cempaka, di sini, hari ini.

Mac lalu, media melaporkan Dr Dzulkefly sebagai berkata, kementerian perlu meminda undang-undang sebelum mewajibkan dua suntikan vaksin membabitkan difteria dan MMR untuk merawat demam campak, beguk serta rubella.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Dzulkefly berkata, kerajaan memperuntukkan hampir RM150 juta bagi pelaksanaan Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan setiap tahun.

Katanya, jumlah itu amat menjimatkan jika dibandingkan dengan kos untuk merawat kes dijangkiti penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin berkenaan.

Malah, beliau berkata, ibu bapa juga terpaksa menanggung kos, termasuk mengambil cuti untuk membawa anak mendapatkan rawatan sekiranya dijangkiti penyakit akibat tiada mengambil vaksin.

“Lebih malang lagi, ada kes jangkitan yang boleh dicegah dengan vaksin ini, juga berisiko membawa maut. Bukan mudah untuk menerima kematian akibat penyakit yang boleh dicegah dengan pemberian vaksin, terutama membabitkan bayi dan kanak-kanak,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, proses vaksinasi penting kerana jumlah kes jangkitan dan kematian akibat jangkitan penyakit berbahaya, terus meningkat akibat tindakan segelintir ibu bapa enggan memberikan vaksin kepada anak mereka.

Tahun lalu, katanya, jumlah kes demam campak meningkat kepada 1,958 kes, termasuk enam kematian, berbanding 1,709 kes dan dua kematian pada 2017.

Selain itu, sebanyak 892 kes batuk kokol, termasuk 22 kematian dicatatkan tahun lalu, meningkat berbanding 353 kes dengan 13 kematian pada 2017.

Sebanyak 18 kes difteria, termasuk enam kematian pula dilaporkan tahun lalu, berbanding 32 kes dan tujuh kematian pada 2017.

“Lebih malang, majoriti bayi dan kanak-kanak meninggal dunia terbabit adalah kerana tidak mendapat suntikan vaksin. Ada juga kes dalam kalangan bayi belum layak menerima vaksin, iaitu di bawah umur dua bulan.

“Liputan vaksin yang tidak menyeluruh menjadi faktor utama menyumbang penularan penyakit berjangkit berkenaan,” katanya.

Berita Harian X