Ahad, 28 April 2019 | 12:57pm
Air hitam dan berbau busuk dengan permukaan berminyak serta kotor, menjadi kebimbangan nelayan di Bagan Sungai Buloh, Jeti Kebun Kerang, Jeram. - Foto Faiz Anuar

Eksklusif: 20 sungai 'mati' jika terus diabai

Kuala Lumpur: Ketiadaan usaha menyelamat dan memulihkan lebih 20 sungai yang mengalami pencemaran Kelas Tiga sejak 2017, bakal mengulangi tragedi Sungai Kim Kim, Johor, pada bila-bila masa, seterusnya mengganggu sumber air negara.

Sungai Kim Kim yang teruk tercemar dan menjadi lokasi pelupusan secara haram sisa kimia pada bulan lalu, dikategorikan dalam Kelas Tiga pada 2017, tetapi menghampiri tahap sungai mati kerana tercemar teruk dalam tempoh dua tahun ekoran tiada usaha pemulihan.

Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr Zaki Zainuddin, berkata kajian beliau terhadap Sungai Kim Kim
sejak 2012, mendapati pencemaran terhadap saliran itu berubah secara drastik dalam tempoh lima
tahun sahaja.

Katanya, lebih banyak sungai dalam Kelas Tiga akan tercemar seperti Sungai Kim Kim, jika tindakan pemuliharaan terhadap saliran yang menghampiri pencemaran Kelas Tiga tidak disegerakan.

“Sebenarnya tanpa pelupusan sisa kimia secara haram yang berlaku baru-baru ini, Sungai Kim Kim sebenarnya sudah ‘sakit’ dan tercemar teruk.

“Kes pembuangan sisa kimia itu sekadar membuka mata orang ramai, untuk mengambil tahu keadaan sebenar sungai itu.


Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Dr Zaki Zainuddin menunjukkan perbezaan gambar Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang tercemar pada tahun 2017 (kiri) dan kurang tercemar pada tahun 2012 (kanan) ketika ditemubual di Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Sampah sarap tersangkut pada perangkap yang dipasang penduduk Kampung Usaha Jaya di Sungai Skudai, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Kajian sejak 2012

“Saya mula membuat kajian terhadap Sungai Kim Kim pada 2012, apabila orang kampung membuat aduan mengenai air hitam dari longkang masuk ke sungai itu, ketika hujan dan selepas waktu kerja atau hujung minggu.

“Ketika itu, Sungai Kim Kim menghampiri pencemaran Kelas Tiga, tetapi selepas lima tahun, iaitu pada 2017, pencemaran sungai itu semakin teruk, hampir mati dengan tahap kandungan oksigen hampir kosong. Keadaan sungai itu bertukar hanya dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Zaki berkata, tragedi yang menimpa Sungai Kim Kim selepas tiga atau lima tahun boleh berlaku kepada sungai lain, jika langkah drastik tidak dilakukan.

Beliau berkata, banyak sungai yang terletak di kawasan bandar pada masa ini dikategorikan dalam Kelas Tiga dan Empat, menyebabkan jika tiada langkah pemuliharaan dijalankan segera, ia berisiko jatuh ke Kelas Lima, iaitu tercemar teruk sehingga boleh dikategorikan hampir mati.

Katanya, pada masa ini negara dilihat memberi tumpuan usaha memulihkan sungai yang sudah tercemar teruk, tetapi tidak mengambil kira penjagaan sungai yang masih bersih atau sedikit tercemar.

“Selamatkan sungai kita. Bagi saya, sebelum sungai tercemar jadi lebih teruk, kita kena selamatkan apa yang ada.

“Jangan bila sudah terhantuk baru nak buat. Jangan bila sungai sudah tercemar, baru nak buat. Kita kena kekalkan apa yang kita ada,” katanya.


Sungai Juru di Bukit Mertajam, dipenuhi sampah. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Zaki berkata, strategi yang meliputi aspek pengekalan kualiti air sedia ada atau sekurang-kurangnya mengelak kualiti air sungai daripada terus merosot, selepas itu barulah usaha pemulihan kualiti air sungai dapat dijalankan dengan berkesan.

Beliau berkata, sungai yang sudah tercemar sukar dibersihkan dan membabitkan kos sehingga berbilion dan fokus sebenarnya, perlu diberikan untuk memastikan sungai lain kekal bersih.

“Kita sangat fokus bila sungai sudah tercemar baru kita kata nak baik pulih, sehingga banyak kajian dilakukan pihak berkuasa untuk pulihkan saliran itu, tetapi sebenarnya kita kena tengok sungai yang bersih atau sedikit tercemar bagi memastikannya ia tidak bertukar kepada sungai kotor.

“Persoalan utama ialah memastikan sungai yang sekarang ini bersih akan kekal bersih.


Keadaan sungai yang tercemar akibat sisa kilang di Kawasan Perindustrian Parit Jamil, Muar. - Foto Adi Safri

Persoalan kritikal

“Contohnya, sekarang ini sungai yang berada dalam Kelas Dua atau Tiga yang sedikit tercemar. Macam mana kita mahu memastikannya tidak jadi Kelas Empat atau Lima dalam tempoh masa lima tahun akan datang. Persoalan itu sebenarnya yang lebih kritikal.

“Dalam tempoh lima tahun akan datang, pasti akan ada punca pencemaran baharu. Jadi kita kena pastikan sungai yang pada masa ini masih bersih atau hanya sedikit tercemar, tidak tersenarai sebagai sungai yang lagi teruk tercemar.

“Sebelum bercerita untuk membersihkan sungai, apa kata kita cerita mengenai hendak memastikan dengan pembangunan pesat ini, kita mahu sungai yang bersih atau sedikit tercemar ini tidak teruk tercemar,” katanya.

Selain itu Zaki berkata, kaedah penentuan sungai tercemar menggunakan Indeks Kualiti Air (IKA) yang mengukur tahap pencemaran, perlu ditambah baik kerana ia dirangka lebih 20 tahun lalu.

Katanya, ukuran mengikut IKA dibuat secara purata dan tidak menyeluruh, menyebabkan sebenarnya tahap pencemaran sungai lebih teruk.

Berita Harian X