Ahad, 28 April 2019 | 12:56pm

KPKT bincang status Flet Keramat Permai

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan berbincang dengan kerajaan Selangor mengenai status bangunan empat tingkat Blok F di Flet Taman Keramat Permai di Ampang Jaya, sama ada boleh dibaik pulih atau dibina semula.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata di bawah Dasar Perumahan Negara, terdapat perkara di mana kerajaan boleh membangunkan semula flet lama berusia lebih 30 tahun demi keselamatan serta keselesaan penghuninya.

“Flet Keramat Permai terletak di bawah (bidang kuasa) kerajaan Selangor, namun kita akan berhubung dengan kerajaan negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk melihat bagaimana kita (KPKT) boleh bantu.

“Flet itu (Keramat Permai) sudah lama.. kita harus selidik dan semak balik (di bawah Dasar Pembangunan Negara) dan akan berbincang dengan kerajaan negeri sama ada menjalankan baik pulih atau bina semula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penutup Konvensyen Pemerkasaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, pihaknya akan menggerakkan anggota bomba untuk menjalankan pemeriksaan di bangunan perumahan lama lain yang dikenal pasti berisiko demi keselamatan penduduk.

Semalam BH melaporkan bangunan empat tingkat Blok F di Flet Taman Keramat Permai di Ampang Jaya, Selangor yang terpaksa dikosongkan sejak Jumaat lalu berikutan beberapa keretakan teruk, dikesan condong ke satu arah.

Perkara itu disahkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berdasarkan pemerhatian secara mata kasar bersama beberapa agensi.

Seramai 222 penghuni turut diarahkan berpindah susulan keretakan di dinding bangunan berkenaan selepas hujan lebat, bagi membolehkan pemeriksaan dan kajian tahap keselamatan tanah serta struktur bangunan dijalankan.

Pemeriksaan oleh pasukan siasatan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati pergerakan tanah masih aktif serta memerlukan pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Zuraida berkata, KPKT akan melihat peluang pelaburan dari China di Kampung Baru Cina di negara, terutama perkampungan unik seperti kawasan nelayan, pelabuhan dan industri kecil.

Beliau berkata, ia mampu meningkatkan lagi kemajuan kampung berkenaan, selain menjadi tarikan pelancong dan memberi pendapatan tambahan kepada penduduk.

Konvensyen Pemerkasaan MPKK Kampung Baru selama dua hari bermula semalam itu menghimpunkan hampir 800 pengerusi dan setiausaha dari seluruh negara.

142 dibaca
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berucap pada majlis penyempurnaan penutup Konvensyen Pemerkasaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X