Sabtu, 27 April 2019 | 1:30pm
TIMBALAN Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Zulkifly Md Said (lapan dari kiri) hadir pada majlis perasmian Konvensyen Persekutuan Persatuan Pelancongan ASEAN (FATA) di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

Inovasi untuk kembangkan sektor pelancongan ASEAN

PUTRAJAYA: Negara ASEAN perlu fokus mengembangkan industri pelancongan dengan terus berinovasi, terutama dari segi tempat tarikan pelancong dan acara baharu supaya sektor itu terus mapan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata cabaran dalam industri pelancongan global terus meningkat dengan persaingan dari segi nilai mata wang, ancaman bencana alam dan keganasan, trend ekonomi tidak menentu dan perubahan corak pilihan serta perjalanan yang mempengaruhi industri.

“Justeru, adalah penting untuk kita sebagai pemimpin sektor ini untuk bekerjasama membina industri ini bagi membuka peluang yang lebih besar dan mengenepikan halangan kepada pertumbuhannya,” katanya berucap merasmikan Konvensyen Persekutuan Persatuan Pelancongan ASEAN (FATA) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Zulkifly Md Said.

Yang turut hadir, Presiden FATA, Mingkwan Metmowlee dan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang.

Mohamaddin berkata, industri pelancongan membantu ASEAN mempromosi negara anggota, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan memacu pelaburan.

Beliau berkata, Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) mensasarkan sektor pelancongan menyumbang 15 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN menjelang 2025 dan tujuh peratus daripada jumlah pekerjaan, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 600 juta penduduknya.

Bagaimanapun katanya, usaha secara saksama bagi perkembangan pelancongan ASEAN oleh semua pihak bukanlah sesuatu yang mudah.

“Usaha ini memerlukan lebih daripada tindakan kerajaan. Ia menuntut perkongsian berterusan dan komitmen sektor swasta.

“Saya percaya semangat kerjasama dan dinamik akan membantu perjalanan kita membina Komuniti Ekonomi ASEAN yang lebih bertenaga menjelang 2025,” katanya.

Seramai 160 peserta dari negara ASEAN menyertai konvensyen berkenaan yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Berita Harian X