Jumaat, 26 April 2019 | 10:31pm
PENGARANG Eksekutif Komersial dan Hal Ehwal Semasa BH, Datuk Zaini Kamaruzzaman memenangi kategori Penulisan Kolum/Rencana Pengarang Cemerlang pada Malam Wartawan Malaysia 2019 di Hotel Berjaya Times Square. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

NSTP menang enam kategori Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2018

KUALA LUMPUR: Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mengungguli Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2018 malam ini apabila memenangi enam kategori utama.

Pengarang Eksekutif Komersial dan Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman memenangi kategori Penulisan Kolum/Rencana Pengarang menerusi rencana bertajuk ‘Warkah untuk Yang Berhormat’, ‘Betulkah UMNO parti keramat orang Melayu’, ‘Rakyat berhak adili Dr M jika Tommy gagal’ dan ‘BN gagal kesan gelombang tsunami rakyat’.

Kartunis BH, Khairul Anuar Md Nor pula memenangi Kategori Kartun Editorial Terbaik menerusi karya bertajuk ‘Durian Batu Kurau’, ‘Kasut Hitam Persidangan Dewan Rakyat’, ‘Harimau Asia’ dan ‘Musim’.

Kedua-duanya membawa pulang RM10,000 dan piala iringan.

BH turut memenangi sagu hati dalam kategori Penulisan Kolum/Rencana Pengarang (Mohd Nasaruddin Parzi), Kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang (Mohd Abdul Illah Hafiz dan Mohd Izham Unnip Abdullah), Kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang (Rashiqah Ilmi Abd Rahim dan Wan Noor Hayati Wan Alias) dan Berita Cemerlang (Mohd Abdul Illah).

Sementara itu, Harian Metro turut memenangi empat kategori lain iaitu Infografik Terbaik (Muhammad Saufi Hassan dan Norsalim Mohamed Dawam); Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang (Mohd Azam Shah Yaacob), Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang (Mohd Firdaus Ibrahim) dan Laporan Berita Cemerlang (Mohd Firdaus, Syazwan Msar dan Amir Abd Hamid).

Anugerah Kajai dimenangi wartawan Kosmo, Ahmad Mustakim Zulkifli dan Luqman Ridhwan Mohamed yang membawa pulang wang tunai RM30,000 dan piala.

Anugerah itu disampaikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2019 di sini, malam ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin serta Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Berhad merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor.

Sementara itu, bekas Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaafar dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara.

Berita Harian X