Jumaat, 26 April 2019 | 7:55pm
MOHAMADDIN Ketapi (dua dari kiri) dan Pengarah Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) negeri, Jeffri Munir (kanan) beramah mesra dengan penggiat seni dondang sayang, Boon Kim Geok, 84, (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Dondang Sayang 'In The Representative List of Humanity' dan Penganugerahan Tokoh Seni Budaya dan Tokoh Warisan Negeri di Perkampungan Hang Tuah, Duyong. - Foto Khairunisah Lokman

MOTAC cadang 4 warisan negara diiktiraf UNESCO

MELAKA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berusaha mengangkat martabat empat warisan negara melalui pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata pantun, songket, Mek Mulung dan Wangkang sedang diusahakan supaya disenarai dan mendapat pengiktirafan itu.

Katanya, warisan berkenaan mahu diangkat ke peringkat lebih tinggi sebagai budaya dan kesenian untuk diperturunkan kepada generasi akan datang.

“Kita sedang dalam proses untuk mencalonkan warisan ini (kepada UNESCO) dan diharap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Dondang Sayang oleh UNESCO kepada kerajaan negeri melalui Ketua Menteri, Adly Zahari serta Penganugerahan Tokoh Budaya dan Warisan negeri Melaka di Perkampungan Hang Tuah di Duyong di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Mohamaddin berkata, pihaknya juga akan memastikan persembahan Dondang Sayang terus dipelihara malah tidak dilupakan untuk generasi masa depan.

Katanya, pengiktirafan diterima daripada UNESCO terhadap Dondang Sayang pada Disember lalu, membuktikan seni itu penting terhadap warisan tanah air malah ia juga perlu menjadi kebanggaan negara.

“Untuk memperoleh pengiktirafan daripada UNESCO itu bukannya mudah tetapi hasil kerja keras semua pihak, dondang sayang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membantu mempertahankan seni Dondang Sayang selain bersedia membantu mempromosikan budaya tempatan itu.

Dondang sayang adalah cabang seni kedua diiktiraf oleh UNESCO pada Disember lalu selepas Mak Yong pada tahun 2005.

Sementara itu, Adly berkata, gabungan pendidikan, bakat dan persembahan Dondang Sayang perlu diketengahkan supaya seni budaya itu dapat diwarisi turun-temurun.

“Ia sekaligus dapat membantu menyumbang kepada industri pelancongan di peringkat kerajaan negeri,” katanya.

Info:

* Mek Mulung - teater tradisional masyarakat Melayu yang popular di negeri Kedah

* Wangkang - perarakan ‘kapal wang’ mengikut kepercayaan kaum masyarakat Tionghua menangkap roh jahat yang menyebabkan ‘penyakit’ diusir dari dunia, sekali gus mendoakan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.

Berita Harian X