Jumaat, 26 April 2019 | 2:54pm
SULTAN Nazrin Shah pada Majlis Konvokesyen ke-24 Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia di Menara Berkembar Bank Rakyat. Turut hadir Tommy Thomas (kiri). - Foto BERNAMA

Bina Malaysia yang baik berpaksikan undang-undang - Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, mereka yang diberikan amanah dengan kuasa, jawatan dan kedudukan, kini memiliki peluang membina Malaysia yang lebih baik berpaksikan undang-undang.

“Jika peluang yang diberikan rakyat tidak disambut secara positif, secara aktif, secara bermakna lagi meyakinkan, untuk melakukan penambahbaikan, rakyat akan beranggapan perubahan yang berlaku hanyalah dari segi pemegang watak, jika watak yang baharu masih membaca skrip lama.

“Negara yang lebih baik, insya-Allah dapat diwujudkan jika prinsip ketiga dan prinsip keempat Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang diberikan nafas, dihayati dan dihormati setiap masa serta urus tadbir negara dilaksanakan secara jujur, telus dengan amanah dan berintegriti berpaksikan undang-undang,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada majlis Konvokesyen ke-24 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia dan menyampaikan sijil kepada 664 graduan yang menamatkan pengajian mereka, di sini, semalam.

Turut hadir, Peguam Negara yang juga Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia, Tommy Thomas.

Baginda bertitah, bilangan pengamal undang-undang yang semakin ramai dan ilmu undang-undang yang semakin kompleks tidak menjamin jenayah semakin berkurangan serta dunia semakin tenteram.

Sebaliknya, titah baginda, perlakuan jenayah semakin meningkat dan lebih dikesalkan semakin ramai golongan profesional serta terpelajar terbabit melakukannya dan kerosakan berlaku pada skala lebih besar sehingga mengakibatkan kesusahan kepada lebih ramai mangsa.

“Apabila terdapat ruang terlalu luas, membolehkan undang-undang dimanipulasikan, dikhuatiri prosiding dan proses undang-undang boleh terhalang, lantas mewujudkan keadaan akan memberi kekebalan kepada pihak memiliki kuasa serta memberi kelebihan, melindungi pihak yang memiliki kekayaan,” titah baginda.

Sultan Nazrin mengingatkan graduan, sekiranya kuasa, kekayaan dan kemasyhuran diri menjadi matlamat utama dan bersedia menghalalkan cara asalkan matlamat tercapai, mereka sebenarnya menjadi liabiliti dan bukannya aset kepada negara serta dunia.

Baginda bertitah, negara dan dunia dikhuatiri akan melalui keadaan lebih buruk akibat perbuatan seseorang yang hidupnya berkompas nafsu tamak, bersedia melakukan apa saja termasuk meminggirkan keadilan, melakukan kezaliman, mengorbankan kepentingan umum untuk mencapai matlamat peribadi.

“Anda kini berstatus seorang ‘barrister’, diterima menyertai profesion yang memiliki sejarah panjang, berstatus tinggi lagi dihormati. Profesion guaman diasaskan dalam semangat mahu menegakkan keadilan, bersandarkan prinsip melindungi yang lemah dan membela yang tidak bersalah.

“Profesion guaman diwujudkan dengan tujuan amat murni, dilengkapi kemudiannya dengan pelbagai instrumen urus tadbir, struktur dan organisasi tersusun lagi kompleks; memenuhi peranan penggubalan, penguatkuasaan, pendakwaan, pembelaan dan penghakiman,” titah baginda. – BERNAMA

419 dibaca
Berita Harian X